GEORGE TOWN, 31 Dis (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan terus melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) pada 2025 untuk mengelakkan kekurangan air di perbandaran di Air Itam dan Farlim serta kawasan di sekitarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata rasional utama pelaksanaan AIDAP 2025 berikutan kapasiti maksimum Empangan Air Itam yang mula beroperasi pada 1963 ialah 2,159 juta liter (ML) berbanding kapasiti simpanan maksimum Empangan Teluk Bahang (18,240 ML) dan Empangan Mengkuang Diperluas (86,400 ML).
"Setakat semalam, kapasiti efektif Empangan Air Itam mencatatkan 76.7 peratus, namun tanpa hujan atau intervensi kejuruteraan, bekalan air dijangka susut dengan cepat pada tahun depan.
"Walaupun laporan cuaca antarabangsa tidak meramalkan satu lagi fenomena El Nino panas dan kering pada 2025, adalah lebih baik untuk 'bertindak secara berhati-hati' bagi mengelakkan kekurangan air," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata PBAPP akan terus melaksanakan tiga protokol utama AIDAP pada 2025, iaitu mengehadkan pelepasan dari Empangan Air Itam sebanyak 22 juta liter sehari (JLH) dan mengepam hingga 33 JLH air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan Empangan Air Itam.
Selain itu, Pathmanathan berkata PBAPP juga akan mengoptimumkan pengeluaran air terawat di LRA Air Itam berdasarkan kepada ketersediaan air mentah daripada dua sumber air lain.
Katanya, pada tahun ini kejayaan pelaksanaan tiga protokol itu memastikan tiada isu bekalan air utama di Air Itam dan Farlim berkaitan fenomena El Nino panas serta kering yang berpanjangan.
Sementara itu, beliau berkata senario di kawasan perkhidmatan Empangan Teluk Bahang juga kurang memberangsangkan dengan kapasiti efektif empangan itu ialah 61.7 peratus hingga semalam.
Bagaimanapun, beliau berkata Empangan Teluk Bahang ialah empangan yang lebih besar dan dari segi jumlah sebenar, kapasiti efektifnya ialah 18,240 ML, atau 844.8 peratus lebih daripada 2,159 ML Empangan Air Itam.
"Malangnya, walaupun PBAPP mungkin melaksanakan AIDAP untuk menyokong Empangan Air Itam, kami mungkin tidak mengepam air terawat dari Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan Empangan Teluk Bahang," katanya.
Dalam pada itu, Pathamanathan turut memaklumkan data menunjukkan bahawa purata penggunaan air domestik di Pulau Pinang ialah 284 liter per kapita sehari (LKH) pada 2023, jauh lebih tinggi berbanding purata kebangsaan negara (237 LKH) dan Singapura (141 LKH).
"Penggunaan domestik per kapita yang tinggi mempunyai kesan, antaranya risiko krisis air yang lebih tinggi apabila pengguna menggunakan lebih banyak air daripada yang mungkin dibekalkan oleh empangan semasa musim kemarau," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial