KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Tugas besar menanti Malaysia pada tahun 2025 apabila bakal memulakan tanggungjawab memimpin rantau Asia Tenggara selaku Pengerusi ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata kerumitan landskap global saat kini menuntut ASEAN untuk melakar peranan dan pengarahan baharu.
"Ini tugas besar Malaysia untuk membawa seluruh kekuatan, seluruh pasukan yang ada sebagai satu kesatuan dan menjamin supaya pembangunan ini terus mampan.
"...mengambil kira mengurangkan jurang perbedaan dan menangani permasalahan dihadapi oleh kelompok yang tersisih atau miskin atau terpinggir. Inilah maksud kita supaya ASEAN menikmati dan berkongsi limpahan kemakmuran secara adil, tanpa ada kelompok atau wilayah yang disisihkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena tahun baharu 2025 yang disiarkan di saluran stesen televisyen tempatan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata untuk menjayakan tanggungjawab selaku Pengerusi ASEAN, rakyat Malaysia harus bersama menjunjung prinsip striving for excellence, dengan berusaha mencari jalan dan kaedah supaya mencatat kecemerlangan serta mengukuh perpaduan di dalam negara terlebih dahulu.
"Sebelum kita melangkau ke rantau dan ke pasaran antarabangsa, negara harus teratur dengan baik, tatakelola mesti dimantapkan, ketirisan dan rasuah mesti dibanteras, barulah kita akan perolehi penghormatan sebagai satu negara yang berdaulat, merdeka dan bertanggungjawab.
"Inilah penghormatan yang besar untuk negara dan peluang untuk membina lembaran baharu dalam agenda serantau serta global yang terus mencabar, selagi (ada) beberapa isu pokok seperti pembantaian, kezaliman, penindasan, penjajahan di Gaza dan beberapa kawasan yang mencabar selainnya," katanya.
Perdana Menteri turut mendoakan supaya semua usaha untuk membangunkan negara dan menjayakan Kepengerusian ASEAN 2025, dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan" mendapat keberkatan Allah SWT.
Laos menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada 11 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan di Vientiane.
Malaysia akan mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025.
Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN masih lagi dalam proses.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial