AM > BERITA

Sambutan Ambang Tahun Baharu Di Seluruh Negara Meriah Dengan Aktiviti Riadah, Kerohanian

01/01/2025 01:04 AM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Ambang Tahun Baharu 2025 di seluruh negara disambut meriah malam ini, dengan rakyat Malaysia mengambil peluang mengisi malam peralihan tahun dengan pelbagai aktiviti riadah dan kerohanian bersama keluarga termasuk sempena kedatangan bulan Rejab.

Tinjauan Bernama di ibu negara mendapati bangunan ikonik Menara Berkembar Kuala Lumpur dan Tun Razak Exchange (TRX) menjadi tumpuan orang ramai bagi meraikan kemunculan tahun baharu.

Selain itu, Menara Kuala Lumpur turut dipenuhi pengunjung termasuk pelancong asing untuk menyaksikan pertunjukkan bunga api pada altitud tertinggi di negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Nazli Saad berkata acara bunga api itu turut tercatat di dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Persembahan Bunga Api pada Altitud Tertinggi di Malaysia’ iaitu dari ketinggian luar biasa 307.610 meter dari aras tanah (401.610 meter dari aras laut).

Di SELANGOR, orang awam tidak melepaskan peluang meraikan malam tahun baharu dengan meluangkan masa bersama keluarga di taman tema MySports I-City, Shah Alam di sini.

Kawasan tersebut mula sesak sekitar 8 malam tadi dengan masing-masing menantikan detik 12 tengah malam bagi sama-sama menyaksikan pertunjukan bunga api.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam hantaran di laman Facebooknya berkata program Darul Ehsan Berselawat menjadi penutup tahun 2024, dengan kehadiran ratusan ribu peserta sepanjang tiga hari penganjuran yang berakhir semalam.  

Di PUTRAJAYA, ribuan pengunjung berkumpul di Dataran Putrajaya berlatarbelakangkan pemetaan cahaya pada Istana Kehakiman bagi menantikan persembahan bunga api yang menandakan detik 12 malam.

Pengunjung antara lain dihiburkan dengan dendangan daripada penyanyi pop tanah air Ziana Zain serta beberapa selebriti lain selain persembahan kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia pada sambutan yang diadakan bersekali dengan Festival LAMPU2024 tersebut.

Selain itu, sambutan tahun baharu di sini turut menerapkan aspek keagamaan menerusi penganjuran Program Gema Syukur 2025 di Masjid Putra yang bermula 6 petang tadi, dengan pengisian seperti bacaan Yassin, solat hajat, tadabur al-Quran, sesi perkongsian ilmu dan qiamullail.

Di PERLIS, Karnival Sambutan Tahun Baharu 2025 anjuran kerajaan negeri yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli menampilkan pelbagai program menarik termasuk Forum Perdana Islam bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat: Membina Generasi Ulul Al-Bab’.

Di KEDAH, sambutan ambang tahun baharu 2025 diadakan bersekali dengan majlis perasmian Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 di Dataran Jam Besar Sungai Petani, di sini, malam ini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah Datuk Mohd Salleh Saidin  mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Di PULAU PINANG, ratusan pengunjung termasuk pelancong asing menghadiri Padang Kota Lama, di George Town di sini untuk meluangkan masa bersama keluarga bagi menyambut Tahun Baharu 2025 dan mula berkumpul sejak 8 malam tadi sambil membawa makanan.

Selain itu, kira-kira 700 pengunjung membanjiri The Top di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) bagi menyertai sambutan Ambang Tahun Baharu serta menantikan persembahan bunga api tepat detik 12 malam.

Di  PERAK, kira-kira 35,000 pengunjung membanjiri Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya malam ini bagi menyambut kemeriahan sambutan ambang tahun 2025 serta Finale Tahun Melawat Perak 2024.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee serta ketua jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.

Di MELAKA, sambutan ambang Tahun Baharu 2025 dimeriahkan dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung yang mula membanjiri Persiaran Jalan Merdeka Bandar Hilir sejak 6 petang.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf turut hadir mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersama barisan kepimpinan negeri dan melancarkan sambutan Hari Pelancongan Dunia (World Tourism Day) 2025 yang dijadualkan pada September.

Di KELANTAN sambutan tahun baharu 2025 dimeriahkan dengan kehadiran penceramah terkenal tanah air Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayub yang menyampaikan ceramah sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 Anak Muda Berselawat yang diadakan di sebuah pasar raya di sini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan beberapa barisan exco negeri selain mantan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub.

Di TERENGGANU, sambutan malam tahun baru 2025 berlangsung sederhana menerusi Program Malam Munajat Terengganu Darul Iman di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus yang  dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah serta pengisian munajat dan bacaan Yassin, sebelum Mufti Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Haron menyampaikan tausiyah, disusuli dengan solat Isyak dan solat hajat berjemaah bersama kira-kira 15,000 hadirin.

Program diteruskan dengan Bicara Murabbi oleh Ustaz Azhar Idrus dan penyampaian Amanat Tahun Baharu oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebelum diakhiri dengan bacaan doa dan selawat.

Di PAHANG, pekarangan menara Kuantan 188 dan Tasek KotaSAS menjadi tumpuan warga Kuantan berkumpul sejak 9.30 malam bagi meraikan kedatangan 2025 dengan pelbagai aktiviti jualan diadakan di kedua-dua lokasi berkenaan selain persembahan bunga api.

Di SARAWAK, hujan lebat tidak menghalang keterujaan warganya untuk menyertai Sambutan Tahun Baharu 2025 peringkat negeri di Tebingan Kuching di sini, malam ini.

Sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan pimpinan kerajaan negeri.

Di SABAH, sambutan tahun baharu diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu dengan acara mengira detik 2025 menampilkan persembahan dron dan bunga api. 

Kawasan Waterfront dimeriahkan dengan muzik, persembahan kebudayaan dan makanan, menarik kehadiran lebih 3,000 pengunjung termasuk pelancong asing yang menikmati persembahan 17 artis termasuk bintang K-pop, penghibur legenda tempatan dan penyanyi antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam perutusan video pada majlis malam ini mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua dan berharap 2025 akan memberi inspirasi kepada memperbaharui komitmen untuk bersatu.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan