AM > BERITA

Empat Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet, Media Sosial Mohon Lesen Operasi Di Malaysia

01/01/2025 02:43 PM

PUTRAJAYA, 1 Jan  (Bernama) -- Empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah mengorak langkah ke arah pematuhan kawal selia dengan memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut MCMC, Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)), menjadikannya penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan bagi  penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Selain WeChat, ByteDance (TikTok) juga berjaya memperoleh lesen mereka manakala Telegram di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka menerimanya dalam masa terdekat. 

“Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, dan WhatsApp telah memulakan proses mendapatkan lesen untuk mengendalikan platform berkenaan di negara ini, yang juga dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini. 

Menurut MCMC, X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang mengendalikan YouTube setakat ini masih belum mengemukakan permohonan masing-masing. 

Menurut kenyataan itu, X memaklumkan bahawa jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang iaitu 8 juta pengguna. 

“Ketika ini, MCMC sedang meneliti kesahihan jumlah pengguna seperti yang dinyatakan oleh X itu dan akan meneruskan sesi libat urus untuk menilai kedudukan X,” menurut kenyataan itu. 

Bagi Google pula, menurut MCMC terdapat beberapa isu dibangkitkan berkaitan ciri-ciri perkongsian video di YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.

MCMC telah membincangkan isu yang dibangkitkan itu dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform berkaitan yang memenuhi kriteria pelesenan tertakluk kepada kewajipan dan tanggungjawab untuk mematuhi Kerangka Pelesenan, yang kini telah berkuat kuasa.

“MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum mendapatkan lesen yang dikehendaki dan menimbangkan tindakan sewajarnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Menurut suruhanjaya itu, penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan mungkin akan dikenakan siasatan dan tindakan.

Keperluan pelesenan yang berkuat kuasa hari ini, membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan keselamatan dalam talian, meningkatkan perlindungan kepada pengguna terutama kanak-kanak dan golongan rentan serta menambah baik kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia. 

MCMC turut memuji usaha penyedia perkhidmatan yang telah mengambil langkah ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan. 

Menurut suruhanjaya itu lagi usaha tersebut penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan