AM > BERITA

Tun Juhar Mahiruddin Setia Berkhidmat Untuk Sabah

01/01/2025 02:55 PM

KOTA KINABALU, 1 Jan (Bernama) -- Tun Juhar Mahiruddin setia berkhidmat untuk Sabah sebagai Yang Dipertua Negeri sejak dilantik ke jawatan itu pada 1 Jan 2011.

Beliau juga merupakan Yang Dipertua Negeri Sabah paling lama berkhidmat iaitu selama empat penggal sehingga semalam, dan tugas itu kemudiannya diambil alih Tun Musa Aman yang melafaz sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11 hari ini.

Sepanjang tempoh berkenaan, Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-10 itu telah menyaksikan pelbagai insiden dan perkembangan di negeri ini yang melibatkan kerencaman serta dinamik dunia politik, ekonomi, keselamatan, kesihatan, pendidikan dan keagamaan.

Di bawah naungan Juhar, Sabah teguh berdepan pelbagai cabaran tercatit dalam sejarah negeri antaranya insiden pencerobohan oleh warga asing di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 dan pandemik COVID-19.

Ekonomi Sabah juga berkembang pesat tahun lepas dengan hasil dikutip mencecah RM7 billion, manakala pelabur asing dan domestik menterjemahkan keyakinan mereka melalui pelaburan berjumlah RM1.7 billion.

Juhar ketika berucap pada pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Sanjungan Kasih untuk beliau pada 30 Dis lepas juga sempat berpesan supaya rakyat perlu diberi perhatian penuh kerana mereka adalah asas dan tunjang kepada segala pembangunan serta kejayaan yang dicapai di negeri ini.

Beliau juga mahu kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diteruskan kerana masing-masing telah menunjukkan komiten luar biasa dalam merangka serta melaksanakan pelbagai projek dan inisiatif yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

"Seiring dengan berakhirnya tempoh pemerintahan saya, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah yang dikasihi atas sokongan, kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam membangunkan negeri ini," kata Juhar.

Berikut merupakan biodata Juhar seperti dikongsikan pihak Istana Seri Kinabalu:

Juhar, 71, dilahirkan pada 5 Nov 1953 di Kampung Tambisan, Sandakan dan beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Undang-Undang) dari The Polytechnic, Wolverhampton (1980) dan Barrister-At-Law, Lincoln’s In London (1981).

Beliau memulakan kariernya dalam Perkhidmatan Awam apabila beliau dilantik menjadi Majistret Kelas Pertama pada tahun 1982, sebelum dilantik menjadi Setiausaha Politik di Jabatan Ketua Menteri Sabah pada tahun 1986 hingga tahun 1989.

Pada tahun 1990, Juhar telah diberi kepercayaan untuk bertanding dan menang di kawasan Parlimen Kinabatangan dan beliau kekal sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut sehingga 1999.

Dalam tempoh yang sama, beliau juga telah dilantik memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Selaku Ahli Parlimen dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau telah menyertai banyak persidangan antarabangsa dan lawatan Ahli Parlimen di dalam dan luar negara.

Beliau telah dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mulai tahun 2002 hingga 2010.

Juhar mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Norlidah RM Jasni dan dikurniakan dua orang anak lelaki dan dua anak perempuan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan