AM > BERITA

48 Termasuk Lima Muka Baharu Dilantik Ahli Majlis MBPP, MPSP Berkuat Kuasa Hari Ini

01/01/2025 03:18 PM

GEORGE TOWN, 1 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri mengumumkan pelantikan 48 individu sebagai ahli majlis termasuk lima muka baharu bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) selama setahun, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata pelantikan itu melibatkan masing-masing 24 ahli majlis bagi MBPP dan MPSP dengan kesemuanya akan mengangkat sumpah Jumaat ini.

Beliau berkata komposisi individu yang dilantik sebagai ahli terdiri daripada DAP sebanyak 20 orang, PKR (17), Parti Amanah Negara (enam), Barisan Nasional (tiga) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dua orang.

“Lima muka baharu yang dilantik kali ini ialah T. Visvenathan daripada DAP sebagai Ahli Majlis MBPP manakala empat lagi di MPSP iaitu Lim Eng Nam, Azman Rahim dan Yeoh Kim Kim dari PKR serta Zulkiply Ishak (Amanah).

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang yang bermesyuarat pada 18 Dis lepas telah meluluskan pelantikan 48 ahli majlis bagi dua pihak berkuasa tempatan (PBT), dan tempoh pelantikan ialah selama satu tahun bermula 1 Jan hingga 31 Dis 2025,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

H'ng berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan Seksyen 10(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976, dengan menitikberatkan pengalaman luas dalam pentadbiran tempatan, pencapaian profesional dan kemampuan mewakili kepentingan komuniti masing-masing.

Beliau berkata pihaknya berharap agar ahli majlis yang dilantik itu dapat memainkan peranan aktif dalam pentadbiran, membawa idea baharu dan bekerjasama demi memastikan PBT Pulau Pinang terus cemerlang.

“Gabungan pengalaman, idea dan tenaga baharu ini diharap dapat memperkukuh sistem pentadbiran di PBT, selaras dengan aspirasi negeri untuk mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan