SUNGAI PETANI, 1 Jan (Bernama) -- Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyediakan peluang kepada pelajar luar bandar daripada kumpulan B40 untuk meneroka bidang berasaskan kemahiran dan teknologi sebagai pilihan kerjaya.
Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Sharif berkata program ini selaras dengan objektif utama PLKK iaitu untuk menyediakan latihan dan kemahiran bagi meningkatkan peluang pelajar menembusi pasaran pekerjaan.
"PLKK adalah program latihan kerjaya dan kemahiran yang memfokuskan kepada pelajar daripada kumpulan B40, khususnya dari luar bandar, untuk meningkatkan tahap kemahiran mereka.
"Selepas tamat tempoh tiga bulan mengikuti kursus masing-masing, terdapat peserta yang berjaya memperoleh peluang pekerjaan, manakala ada juga yang memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sijil kepada peserta tajaan KEDA yang mengikuti PLKK 2023, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah (KISMEC) Mohd Yusuri Yusof.
Ismasuhaimi turut memaklumkan KEDA menerima peruntukan berjumlah RM600,000 pada tahun 2023 untuk melaksanakan program tersebut, melibatkan lima bidang kursus iaitu Gunting Rambut Profesional, Industri Automasi (Mekatronik), Industri Elektronik, Industri Elektrik serta Perkhidmatan Asas Hospitaliti dan Latihan Operasi.
"Seramai 57 pelajar telah berjaya menamatkan latihan di KISMEC bulan lepas, melibatkan tiga kursus, iaitu Industri Automasi (8 orang), Industri Elektronik (19 orang), dan Industri Elektrik (30 orang).
"Manakala pada tahun 2024, KEDA menerima peruntukan sebanyak RM532,970 untuk melaksanakan sembilan kursus tambahan termasuk pengendalian dron pertanian, sistem penyaman udara, gas paip, pemasangan perancah tahap 1, perpaipan, solar, teknologi motosikal, teknologi bangunan, dan gearbox," tambahnya.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa usaha mendidik anak-anak dari kawasan luar bandar akan diteruskan pada tahun ini dengan memberi tumpuan kepada kombinasi bidang kemahiran dan keusahawanan.
"Apabila pelajar sudah memiliki kemahiran, kita akan memperluaskan pengetahuan mereka dalam bidang teknologi keusahawanan pula. Ini bertujuan untuk membantu mereka membangunkan syarikat sendiri, meningkatkan pendapatan diri dan keluarga, serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial