AM > BERITA

Penyuntingan Foto Dikuasakan AI Generatif Bakal Menemui Pengguna Pixlr.com

03/01/2025 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Pengguna Pixlr.com, platform berasaskan web untuk asas penyuntingan foto bakal menikmati beberapa perkembangan baharu yang menarik selaras perkembangan pesat landskap penciptaan kandungan. 

Satu daripada perkembangan itu adalah pengenalan alat dikuasakan AIGeneratif yang direka untuk memudahkan dan meningkatkan lagi proses kreatif. 

Dalam satu kenyataan hari ini, pengasas bersama Kumpulan Pixlr Stephanie Sitt berkata pelancaran Inabit.ai, pembuat slaid berkuasa AI Generatif yang canggih bakal diadakan pada Jan 2025.

Inabit.ai yang direka khusus untuk membantu profesional terbabit dalam jualan dan pemasaran serta jurulatih menghasilkan slaid yang lebih menarik serta berkesan.

"Dengan kecanggihan AI, slide decks yang kemas dan bersesuaian boleh dihasilkan dalam beberapa saat sekali gus menjimatkan masa serta meningkatkan kecekapan," katanya.

Pixlr Group ialah syarikat kuasa SaaS yang canggih di sebalik Pixlr.com dan Designs.ai dengan berjuta-juta pengguna aktif setiap bulan.

Sitt berkata masa depan penciptaan kandungan tidak terbatas dan matlamat mereka adalah untuk mencipta platform yang dikuasakan AI, membolehkan pencipta merealisasikan idea mereka. 

“AI Generatif telah muncul sebagai kuasa perubahan dalam industri kreatif, dan kumpulan itu bersedia untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi ini. Dengan mengintegrasikan AI Generatif ke dalam platform mereka, Pixlr dan Designs.ai membolehkan pengguna mencipta visual, video dan rekaan bertaraf profesional dengan mudah,” katanya.

Beberapa penambahbaikan terkini Pixlr.com telah merevolusikan pengalaman pengguna dengan ciri-ciri dipacu AI membolehkan pengguna menjana rekaan unik, menggunakan kesan yang kompleks dan menyelaras proses kerja dengan hanya beberapa klik.

Beliau berkata Designs.ai telah memanfaatkan kuasa AI Generatif untuk menyediakan templat pintar, AI copywriting, pertuturan dikuasakan AI dan penyelesaian penjenamaan automatik, merevolusikan kaedah perniagaan mencipta dan menyempurnakan identiti visual. 

Sementara itu, Sitt berkata kekuatan Kumpulan Pixlr terletak pada semangat dan dedikasi petugas yang telah mendorong inovasi, memastikan syarikat menjadi platform AI yang sesuai untuk industri penciptaan kandungan, dan membantu pengguna menjimatkan masa serta kos, membolehkan memberi tumpuan kepada membina hubungan dengan pelanggan melalui komunikasi visual.

Beliau turut mengiktiraf kepentingan sumber rujukan, mengikuti perkembangan industri dan maklum balas pelanggan.

"Alat kami tidak dibangunkan sekadar mengikuti apa yang ditawarkan pihak lain tetapi berdasarkan penyelidikan dan kajian menyeluruh sebelum menempatkan sumber kami ke dalam pembangunan.

Selain itu, kepimpinan syarikat aktif melabur dalam membina budaya menghargai pekerja kerana  komunikasi terbuka, ketelusan keputusan dan komitmen terhadap kesejahteraan pekerja akan mewujudkan persekitaran yang membolehkan idea terus berkembang. 

Menyedari mengenai kepelbagaian generasi pencipta pada masa akan datang, Sitt berkata mereka menyesuaikan platform untuk menarik khalayak dengan antara muka intuitif kepada ciri dikuasakan AI yang memenuhi pelbagai tahap kemahiran selain menjadikan kreativiti boleh diakses oleh semua. 

“Itu antara faktor mengapa pejabat kami terletak di lokasi yang strategik di kawasan Sunway Subang Jaya. Lokasi strategik itu membolehkan kami mendapatkan lebih banyak maklum balas orang ramai dalam kalangan golongan muda, dan pelajar kolej yang sering mengunjungi kawasan itu kerana mereka demografi penting bagi pangkalan pengguna," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan