AM > BERITA

MCMC Turunkan 63,652 Kandungan Berunsurkan Penipuan Di Media Sosial - Teo

04/01/2025 03:22 PM

KULAI, 4 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sebanyak 63,652 kandungan berunsurkan penipuan dalam media sosial tahun lepas, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara, berbanding 6,297 kandungan yang diturunkan pada 2023.

Teo berkata antara penipuan yang dikenal pasti melibatkan kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, menyamar menjadi orang terkenal, video, grafik dan perkataan.

“Menerusi teknologi AI sekarang memang sangat mudah untuk buat video deepfake. Kita lihat ramai tokoh terkenal telah menjadi mangsa, seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini.

“Angka 63,652 (kandungan) adalah besar dan ia berdasarkan aduan yang kami terima … tetapi, saya percaya ada banyak lagi di luar sana. Jadi, sangat penting untuk kita mendidik masyarakat agar lebih peka dan prihatin, selalu buat semakan dan jika tidak pasti, jangan kongsi,” katanya ketika menghadiri Program Kampung Angkat MADANI di Dewan Raya FELDA Bukit Permai, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai statistik penipuan di laman sosial dan deepfake yang berlaku melibatkan beberapa tokoh terkenal di negara ini.

Teo berkata banyak penipuan berbentuk Investment Guru, seperti yang melibatkan Zeti Akhtar kononnya beliau "berkongsi" pengalaman dan panduan dalam pelaburan yang akhirnya bertujuan memperdaya mangsa sehingga terjerumus ke dalam penipuan pelaburan.

“Sebenarnya itu cara untuk helah orang ramai menyertai kumpulan WhatsApp mereka (penipu) dan akhirnya mereka terkena dan menjadi mangsa dalam penipuan pelaburan kerana angka daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan bahawa penipuan pelaburan ialah scam yang paling besar,” katanya.

Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai dalam pada itu, menyeru penyedia platform dalam talian, seperti TikTok dan META agar menyemak serta meningkatkan usaha pemantauan, susulan peningkatan kandungan khususnya penipuan dalam talian melibatkan AI yang memudaratkan.

“Bukan kandungan dijana AI tidak boleh diguna pakai, tetapi kami harap mereka boleh fikir kaedah sekurang-kurangnya letak nota dalam hantaran itu menyatakan bahawa ia merupakan janaan AI. Mereka perlu ada satu tanggungjawab untuk pastikan kandungan yang dibuat adalah asli,” katanya.

Sebelum ini, Teo dalam satu hantaran di laman Facebook meminta orang ramai tidak terpedaya dengan penyebaran video palsu deepfake berjudul “Rahsia Pelaburan Sepanjang Hayat Zeti” dalam bahasa Mandarin.

Dalam video palsu terbabit, “Zeti” memperkenalkan dirinya sebagai individu yang telah bekerja dalam sektor kewangan selama lebih 40 tahun, membentuk dasar monetari Malaysia dan menyaksikan perubahan ekonomi yang ketara.

Video itu mengajak penonton menyertai komuniti dalam talian untuk “belajar dan maju bersama” dengan menawarkan panduan saham dan pandangan ekonomi bagi membantu pengguna memahami bagaimana dasar negara dan perubahan pasaran mempengaruhi pelaburan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan