AM > BERITA

Peminjam, Penyewa Premis MARA Terjejas Banjir Boleh Mohon Penjadualan Semula Bayaran

05/01/2025 06:59 PM

BANGI, 5 Jan (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui agensinya, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberi bantuan sokongan kepada peminjam dan penyewa yang terjejas akibat banjir termasuk penjadualan semula bayaran pinjaman.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagaimanapun setakat ini MARA belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana mangsa banjir untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman mereka.

“Setakat ini tidak ada rekod yang memperlihatkan bahawa ada rayuan daripada peminjam MARA yang terjejas banjir memohon atau merayu agar ada penangguhan pembayaran tersebut.

“Jika ada permohonan berkenaan, pihak pengurusan MARA akan meneliti dan mengadakan perbincangan dengan pemohon berkenaan untuk melakukan penjadualan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kuali Cafe@UKM di Bangunan Pusanika Universiti Kebangsaan Malayasia (UKM) di sini hari ini.

Bagi penyewa premis MARA pula, beliau berkata agensi itu juga akan menilai kes berkenaan secara individu untuk memastikan mereka tidak menanggung kerugian akibat bencana tersebut.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata kerajaan akan memberi peluang kedua kepada individu yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke institusi TVET.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis TVET Negara dan Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti individu berkenaan untuk mengikuti kurus yang diminati melalui TVET.

“Pada 2023 terdapat lebih 10,160 individu tidak menduduki SPM dan jumlah hampir sama dijangka berlaku pada 2024. 

“Permohonan memasuki satu daripada 1,398 institusi TVET yang diselaraskan di seluruh negara boleh dibuat melalui platform UP_TVET  untuk individu tersebut membuat  pilihan kursus dan institusi yang sesuai dengan minat mereka,” katanya.

Baru-baru ini dilaporkan peratusan kehadiran calon SPM 2024 mencecah 97 peratus setakat 2 Jan dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya masih dalam proses mengemas kini memandangkan terdapat kira-kira 10,000 calon yang belum mengesahkan kehadiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan