AM > BERITA

ASEAN 2025: Kepimpinan PM Anwar Mampu Cetus Kebangkitan Kedua ASEAN

08/01/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpotensi untuk menghidupkan kebangkitan kedua ASEAN terutama menerusi ASEAN-Malaysia 2025.

Berucap pada ASEAN Economic Opinion Leaders Conference: Outlook 2025 di sini hari ini Editor  Eksekutif Pengurusan South China Morning Post Zuraidah Ibrahim memuji kepimpinan Anwar terhadap kepimpinan serantau.

“Anwar sebenarnya telah menggunakan sangat baik (pendekatan) dalam mengambil alih kepimpinan dan (mencadangkan) tentang kebangkitan kedua ASEAN.

“Sebagai individu yang dibesarkan di sini dan amat mendalami rantau ini, saya benar-benar berharap Malaysia akan berjaya dalam mencetuskan kebangkitan kedua ASEAN,” katanya pada satu sesi di persidangan itu.

 Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai selaku moderator bagi sesi bertajuk The Role of Media and Opinion Leaders in Narrating ASEAN itu.

Malaysia melangkah ke 2025 dengan keyakinan tinggi apabila secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN, membuka laluan untuk memimpin pelbagai acara antarabangsa yang bermatlamat mengukuhkan hubungan diplomatik multilateral, memperkukuh kerjasama serantau, dan membentuk landskap geopolitik yang lebih luas.

Dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", Malaysia akan menganjurkan lebih 300 mesyuarat dan program utama di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Anwar dalam ucapan sempena tahun baharu 2025 berkata tugas besar menanti Malaysia pada tahun ini apabila bakal memulakan tanggungjawab memimpin rantau Asia Tenggara selaku Pengerusi ASEAN.

 Beliau berkata kerumitan landskap global saat kini menuntut ASEAN untuk melakar peranan dan pengarahan baharu.

Laos menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada 11 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan di Vientiane.

Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan