AM > BERITA

Ketua Hakim Negara Yakin PM Anwar Terus Komited Tegak Prinsip Kebebasan Kehakiman

08/01/2025 10:30 PM

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan akan terus komited menegakkan prinsip kebebasan kehakiman.

Beliau mengimbau semula bahawa 15 tahun lepas sebelum penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Anwar yang ketika itu ketua pembangkang telah membangkitkan kebimbangannya mengenai ketidaktelusan dan kemungkinan campur tangan badan eksekutif dalam pelantikan hakim.

Tengku Maimun berkata pemerhatian Anwar semasa itu, secara langsung menyentuh kepada aspek kebebasan kehakiman.

Beliau berkata walaupun pelbagai kritikan dibuat terhadap Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (JACA) semasa perbahasan sebelum akta itu diluluskan, akta tersebut tetap berkuat kuasa.

“Saya telah menjadi seorang tegar dan percaya kepada kebebasan badan kehakiman termasuk pelantikan hakim-hakimnya. Oleh itu, saya berpegang teguh kepada semua prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan JACA 2009,” katanya semasa berucap pada Pembukaan Tahun Perundangan 2025.

Tengku Maimun berkata JACA, seperti yang dinyatakan kerajaan ketika membentangkan Rang Undang-Undang itu, bukan untuk mengubah mekanisme perlembagaan pelantikan hakim, tetapi untuk memperkemas dan memperkukuhkan lagi proses pemilihan calon bagi pelantikan kehakiman.

“Peruntukan JACA 2009 dan penubuhan JAC dilihat sebagai satu langkah untuk menambah dan melengkapkan peruntukan perlembagaan mengenai pelantikan hakim mahkamah atasan,” katanya.

Tengku Maimun berkata berdasarkan peruntukan perlembagaan dalam pelantikan hakim, tiada individu selain JAC dan Perdana Menteri yang boleh mencadangkan calon untuk pelantikan ke jawatan hakim di mahkamah atasan.

Beliau berkata sebarang bentuk ketidakpatuhan kepada peruntukan itu boleh mengakibatkan pelantikan itu sama ada tidak sah mengikut perlembagaan atau melanggar undang-undang.

Oleh itu, Tengku Maimun berkata tidak ada individu sama ada presiden Majlis Peguam, peguam bela atau peguam cara atau mana-mana parti politik, Peguam Negara atau sesiapa sahaja, boleh mencadangkan nama kepada perdana menteri untuk dilantik.

Beliau berkata individu yang mencampuri atau cuba campur tangan dalam fungsi bebas JAC, adalah melakukan kesalahan yang boleh didenda sehingga RM100,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Tengku Maimun berkata calon yang berhasrat mestilah memohon kepada JAC untuk pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan JAC juga akan menilai prestasi hakim mahkamah atasan untuk dicadangkan bagi kenaikan pangkat.

Keputusan berhubung perkara itu sentiasa dibuat menerusi undian majoriti yang dilakukan secara sulit, jika tiada keputusan konsensus diperoleh.

“Sepanjang tempoh sebagai ahli JAC, saya tidak pernah sekali pun mencampuri proses ini. Oleh itu, calon yang dicadangkan bukan pilihan tunggal Ketua Hakim Negara, tetapi pilihan majoriti atau keputusan kolektif JAC,” kata Tengku Maimun yang juga Pengerusi JAC. 

Beliau berkata nama calon yang terpilih akan dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk dilantik, mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“JACA 2009 bagaimanapun, membenarkan Perdana Menteri untuk tidak menerima calon yang dicadangkan JAC bagi pelantikan itu dan dalam kes seperti itu, Perdana Menteri boleh meminta dua lagi calon,” katanya.

Tengku Maimun berkata sebagai Ketua Hakim Negara, beliau pernah dikritik, difitnah dan dilabel sebagai tidak Islamik atau musuh Islam, selain suaminya juga pernah digunakan untuk menentangnya dalam beberapa kes mahkamah, dalam usaha menolak beliau dan juga untuk memalukan beliau dan rakan hakim lain. 

Beliau yang kini menghampiri penghujung tempoh perkhidmatannya pada Julai, melahirkan harapan agar mereka yang bertanggungjawab bagi pelantikan hakim akan mengingati komitmen mereka terhadap sumpah dan tugas mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan terus berpegang kepada komitmen berkaitan pelantikan hakim yang adil, bebas dan tidak tercemar.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan