AM > BERITA

Sesi Libat Urus Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 Babitkan 8,000 Pihak Berkepentingan

09/01/2025 04:18 PM

JOHOR BAHRU, 9 Jan (Bernama) -- Sesi libat urus bersama 8,000 pihak berkepentingan sektor pendidikan tinggi akan diadakan bagi mendapatkan maklum balas mengenai Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 yang sedang dirangka. 

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pelan itu penting bagi memberikan impak yang berkesan kepada hala tuju pendidikan tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang mengikut keperluan semasa.

“Sejajar transformasi agenda pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyiapkan pelan pendidikan 2025-2035. Tahun ini amat penting kerana kita akan bentangkan pelan jangka panjang KPT untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Oleh itu, jawatankuasa mengenai pelan ini telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan libat urus membabitkan 8,000 pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pendidikan Tinggi tahun 2025 di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts Mustapha Sakmud serta Naib Canselor baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Dalam pada itu, Zambry berkata proses mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan  pendidikan tinggi seperti institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), tenaga pengajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil masa agak lama.

“Prosesnya agak panjang dalam usaha menyediakan pelan pendidikan tinggi demi memastikan ia mempunyai impak.

“Pelan yang sedang dirangka ini bakal menjadi agenda terbesar KPT kerana membabitkan dasar masa depan pendidikan tinggi negara,” katanya.

Zambry sebelum ini dilaporkan berkata pelan baharu itu akan melibatkan pakar tempatan bagi memastikan sistem pendidikan yang berdaya saing dan relevan.

KPT juga bercadang tidak mengambil khidmat perunding luar, sebaliknya menggunakan tenaga pakar tempatan yang lebih memahami keperluan negara.

Berdasarkan Kad Laporan KPT 2024, kementerian berjaya mencapai lima fokus utama bagi 2024 iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan