AM > BERITA

NADI Pelengkap Usaha Sarawak Beri Kemudahan Internet Kepada Rakyat

10/01/2025 05:11 PM

SIBU, 10 Jan (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menjadi pelengkap usaha kerajaan negeri untuk memberi kemudahan internet kepada rakyat terutama di luar bandar, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.

Beliau berkata inisiatif yang diwujudkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu memperkasakan komuniti melalui program-program yang merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi.

Julaihi berkata program-program yang ditawarkan di NADI merangkumi lima bidang fokus utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.

“Kita dapati bahawa kemudahan yang disediakan oleh NADI ialah untuk memberi latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada penduduk setempat, dan sasaran utama ialah pelajar-pelajar sekolah terutama daripada golongan B40.

“Kalau di Nadi Teku, 60 peratus yang berdaftar adalah pelajar, manakala 40 peratus lagi dalam kalangan komuniti tempatan. Ini menunjukkan bahawa pelajar sudah mempunyai akses kepada kemudahan yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI Teku di sini hari ini.

Julaihi berkata sebanyak 23 NADI baharu telah dibangunkan di Sarawak sebagai tambahan kepada 133 NADI yang beroperasi di negeri berkenaan.

NADI Teku yang beroperasi penuh pada 16 Okt tahun lepas mempunyai 858 ahli berdaftar dan telah membimbing 10 usahawan tempatan untuk aktif menjual produk serta perkhidmatan mereka secara dalam talian.

Beliau turut melawat dua NADI baharu di Sibu iaitu NADI Pelawan dan NADI Salim yang mula beroperasi sejak Oktober tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan