AM > BERITA

LRT Laluan Mutiara: Kerajaan Beri Perhatian Serius Kebimbangan Penduduk - Anwar

11/01/2025 01:51 PM

GEORGE TOWN, 11 Jan (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius mengenai kebimbangan penduduk Pulau Pinang tentang sebahagian kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong yang diambil alih bagi mendirikan depoh projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan itu berkata beliau meminta Ketua Menteri Chow Kon Yeow untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat bagi melakukan sedikit penyesuaian bagi menyelamatkan sebahagian tapak pesta yang terlibat dengan projek berkenaan.

“Kita mengambil kira pandangan ini dan sedang berbincang kerana orang Pulau Pinang ini menarik, mereka sentimental, sentimen dengan nasi kandar, sentimen dengan tapak pesta, (dan) kalau boleh semua nak kekal seperti yang lama.

“Tetapi mereka nak LRT … saya rasa orang Pulau Pinang juga kena rumus dengan baik. Membawa perubahan, sedikit penyesuaian juga harus dilakukan, bagaimanapun kerana hal ini telah dibangkitkan oleh ramai, saya minta Ketua Menteri untuk berbincang bagaimana kita boleh membuat sedikit penyesuaian sekiranya perlu,” kata beliau pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di Tapak Stesen LRT Bandar Sri Pinang di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Chow.

Pada 8 Jan lepas, Chow memaklumkan sebahagian kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong dalam perancangan untuk diambil alih bagi mendirikan depoh projek LRT Laluan Mutiara dan ia telah dibentangkan MRT Corp selaku pemaju dan pemilik aset kepada kerajaan negeri, namun ia masih pada peringkat cadangan konsep.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap MRT Corp dapat menjalankan tugasnya dengan telus, bersih, cekap dan mengurus dengan baik tanpa sebarang ketirisan selain pembangunan LRT juga perlu melihat kepada aspek yang menjaga kepentingan awam seperti perumahan, kemudahan asas dan keperluan pemindahan yang adil dari segi tanah.

Beliau berkata seiring dengan keperluan negara untuk berkembang serta berteknologi moden dan maju, pembangunan termasuk LRT berkenaan perlulah menjaga identiti khas Pulau Pinang dan Malaysia.

“Maknanya, ia harus cekap dan moden, tetapi bagaimana perancang seni binanya? (Adakah) laluannya mengambil kira untuk menjadikan Pulau Pinang ini agak unik.

“Jadi, saya harap hal ini juga difikirkan supaya ia tidak hanya jadi LRT, seperti LRT mana-mana tempat di dunia, tentunya kenderaanya sama, infrastruktur sama, tetapi ini cabaran besar yang harus kita renungkan,” katanya.

Projek LRT Laluan Mutiara meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km), merangkumi 21 stesen di lokasi-lokasi yang strategik, termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A).

Penjajaran yang bermula dari PSR-A merangkumi dua stesen terminus, iaitu di Penang Sentral dan KOMTAR dengan kedua-dua laluan ini akan beroperasi secara selari menerusi penjadualan bergilir, memastikan perjalanan yang lebih lancar dengan masa perjalanan dioptimumkan.

Dijangka beroperasi pada 2031, LRT Laluan Mutiara itu juga menyaksikan sambungan stesen terminus dari KOMTAR ke Penang Sentral, meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kedua-dua belah Selat Pulau Pinang.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan lepas dekat sini perlu disegerakan berikutan tarikan pelancong dan keperluan industri yang semakin berkembang.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya beliau memberikan tumpuan yang lebih kepada Pulau Pinang kerana merupakan anak jati Pulau Mutiara itu.

Anwar menegaskan selaku Perdana Menteri, beliau memberikan tumpuan mengikut keperluan rakyat tanpa memilih negeri termasuk bantuan kepada pesawah di Kedah, projek tebatan banjir di Kelantan dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan