AM > BERITA

Penternak Digesa Kawal Haiwan Ternakan, Elak Bahayakan Pengguna Jalan Raya

11/01/2025 03:06 PM

KUALA SELANGOR, 11 Jan (Bernama) -- Penternak digesa mengawal haiwan ternakan daripada berkeliaran di kawasan jalan raya berikutan laporan kematian yang tinggi akibat kemalangan membabitkan binatang peliharaan atau ternakan.  

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata berkata mereka yang masih degil bakal berdepan tindakan sewajarnya menurut peruntukan akta telah ditetapkan. 

"... harap para penternak jangan lagi melepaskan haiwan mereka seperti dahulu. Kena faham dan kerajaan menerusi agensi tertentu boleh bertindak berdasarkan akta yang berkaitan," katanya selepas melawat tapak Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan PKPS di Selangor Fruit Valley di sini hari ini. 

Beliau berkata penternak boleh mencari cara baharu antaranya dengan melepaskan ternakan di kawasan ladang yang dikawal supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya khususnya di kawasan luar bandar. 

Sebelum ini, Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata 109 pengguna jalan raya maut di seluruh negara disebabkan haiwan peliharaan atau ternakan sepanjang tahun lepas. 

Beliau berkata dalam tempoh itu, sebanyak 14,560 kes kemalangan membabitkan haiwan liar, haiwan peliharaan dan ternakan dicatatkan di seluruh negara dengan 13,877 kes kemalangan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan