AM > BERITA

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia Sokong Inisiatif Jepun Anjur Persidangan CEAPAD

11/01/2025 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Jepun menganjurkan Persidangan mengenai Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini.

Pengerusi kaukus itu Syed Ibrahim Syed Noh memuji keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong inisiatif itu dan bersama-sama mempengerusikan mesyuarat peringkat menteri, sambil menekankan kepentingannya ketika masa depan Palestin sebagai sebuah negara merdeka masih tidak menentu.

"Kerjasama seperti ini, walaupun bergantung pada gencatan senjata dan penamatan peperangan, memberikan isyarat optimisme bahawa kebijaksanaan dan kerjasama antara negara masih utuh dalam mempertahankan rakyat, kebebasan, keamanan dan keadilan sejagat," katanya.

Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin, menegaskan kepentingan penglibatan ASEAN, terutamanya dengan Malaysia memegang jawatan sebagai Pengerusi blok serantau itu tahun ini, dalam berperanan sebagai jambatan untuk keamanan, kestabilan dan kebebasan ekonomi serantau.

Beliau turut menyuarakan sentimen dinyatakan Perdana Menteri Jepun Ishiba Shigeru yang menyeru peningkatan kerjasama antara Asia Tenggara, Asia dan Asia Barat.

Ahli Parlimen Ledang itu juga menyeru inisiatif yang lebih proaktif untuk menangani tindakan keganasan Israel, menggesa pengguguran negara itu daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan pelanggaran berterusan termasuk genosid, amalan aparteid dan pencabulan undang-undang antarabangsa.

"Lebih banyak inisiatif proaktif diperlukan untuk menggugurkan negara pengganas Israel daripada PBB akibat tindakan genosid, amalan aparteid terhadap rakyat Palestin, pelanggaran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan resolusi PBB, serangan terhadap petugas PBB, dan larangan aktiviti Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

"Kekebalan negara pengganas Israel mesti ditangani kerana pembunuhan dan serangan di Gaza, Lubnan dan Yaman terus berlaku setiap hari," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan