SEPANG, 11 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan kempen keselamatan dalam talian di sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negara dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata kempen itu diadakan bagi meningkatkan pemahaman serta kesedaran ibu bapa, guru dan murid sekolah tentang keselamatan dalam talian bagi mengelak golongan itu terjerumus menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.
“Dalam tempoh beberapa minggu lagi, akan diadakan kempen kesedaran di sekolah untuk tingkat pemahaman serta kesedaran tentang keselamatan dalam talian bagi ibu bapa, guru dan murid sekolah rendah.
“Kita mahu mereka tidak beri sebarang fokus kepada media sosial, maksudnya no media social pada peringkat sekolah rendah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi di Kampung Orang Asli Kelinsing di sini hari ini.
Bagi peringkat sekolah menengah, Fahmi berkata tumpuan kerajaan ialah pendedahan mengenai kaedah penggunaan Internet dan media sosial dengan selamat.
“Hal ini untuk mengelak daripada menjadi mangsa scam (penipuan dalam talian) dan jenayah lain yang ada dalam talian,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Fahmi berkata terdapat 454 kes penipuan dipercayai menggunakan teknik palsu asli atau deepfake direkodkan sepanjang tahun lepas yang melibatkan kerugian sebanyak RM2.72 juta.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial