AM > BERITA

Pengoperasian Semula Feri Labuan-Kota Kinabalu Ditunda Kerana Isu Keselamatan

12/01/2025 05:36 PM

LABUAN, 12 Jan (Bernama) -- Pengoperasian semula perkhidmatan feri antara Labuan dan Kota Kinabalu ditangguhkan susulan isu keselamatan, bukan kerana kelemahan dalam persediaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holdings Noor Halim Zaini berkata Terminal Feri Antarabangsa Labuan telah bersedia untuk menyambung perkhidmatan namun keadaan jeti di Jesselton Point, Kota Kinabalu, mempunyai risiko keselamatan untuk pendaratan penumpang.

Beliau berkata perkhidmatan feri berkenaan pada mulanya dijadualkan untuk beroperasi semula pada 15 Dis lepas dan perkara itu turut diketengahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

"Pihak menteri sangat menyokong inisiatif ini, memahami kepentingannya bagi meningkatkan ketersambungan dan menggalakkan aktiviti ekonomi tempatan," kata Noor Halim.

Beliau berkata usaha sedang dilakukan bagi menangani isu tersebut serta memastikan operasi dapat dijalankan dengan selamat.

Noor Halim berkata LDA Holdings komited untuk mengatasi cabaran tersebut memandangkan perkhidmatan feri itu menghubungkan Labuan dengan tanah besar sekali gus menjanjikan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelancong.

Beliau berkata pihaknya kini dalam perbincangan dengan Taman-Taman Sabah untuk mendapatkan keizinan menggunakan jeti badan itu yang terletak bertentangan Hyatt Hotel di Kota Kinabalu.

Perkhidmatan feri ekspres itu katanya pernah beroperasi berhampiran jeti Taman-Taman Sabah sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan