SUNGAI BULOH, 14 Jan (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan hari ini mengumumkan peruntukan RM100 juta melalui TEKUN Nasional untuk memperkasakan dan memperkukuh lagi agenda pemerkasaan ekonomi komuniti India.
Beliau yang mengumumkan demikian dalam sidang media khas sempena sambutan Ponggal berkata RM50 juta daripada dana itu akan disalurkan melalui Skim Pembiayaan SPUMI Goes Big dan RM50 juta lagi melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).
Kedua-dua inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan hampir 5,000 usahawan India tahun ini bagi mengembangkan perniagaan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
“Kalau kita lihat, sebelum ini bajet (SPUMI) yang ditetapkan (dalam Belanjawan 2025) ialah RM30 juta sahaja tetapi Perdana Menteri telah menugaskan saya untuk menjaga hal-hal komuniti India dengan meningkatkan dan memperbanyakkan inisiatif tahun ini.
“Jadi sebagai permulaan, TEKUN melalui dana dalaman (internal fund) mereka akan tambah RM70 juta lagi, menjadikan peruntukan keseluruhan SPUMI ialah RM100 juta tahun ini iaitu satu angka terbesar untuk komuniti India sejak 2008,” katanya.
Beliau berkata usahawan India yang berminat mendapatkan dana itu boleh mengemukakan permohonan di laman sesawang TEKUN atau berkunjung ke mana-mana pejabat yang berdekatan bermula hari ini.
“Di bawah SPUMI, TEKUN akan memberikan pembiayaan dana antara RM1,000 hingga RM50,000 kepada mereka yang layak manakala melalui SPUMI Goes Big (RM50,000-RM100,000) dengan tempoh kelulusan kurang daripada 14 hari,” katanya.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata sejak diperkenalkan pada 2008, inisiatif itu menyaksikan kejayaan luar biasa dengan lebih RM500 juta telah diberikan kepada 26,804 usahawan India di seluruh negara.
Pada tahun lepas, RM58.9 juta disalurkan kepada 1,863 usahawan India di bawah SPUMI manakala skim SPUMI Goes Big yang dilancarkan pada tahun sama telah menyokong 287 usahawan dengan pembiayaan berjumlah RM12.6 Juta.
“Inisiatif itu lambang keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada individu atau kumpulan yang terpinggir dalam kemajuan ekonomi negara.
“Justeru, saya berharap masyarakat India mengambil peluang ini untuk meningkatkan taraf hidup sekali gus membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara signifikan,” katanya.
Selain itu, beliau menyeru usahawan yang mendapat pembiayaan agar membuat pembayaran balik secara teratur bagi membolehkan TEKUN membantu lebih ramai usahawan India pada masa depan.
"Apabila TEKUN menggunakan dana dalaman (untuk melaksanakan inisiatif itu), pembayaran balik mesti dilakukan sebaiknya jika tidak ia akan menghalang peluang peminjam seterusnya kerana ini dana dalaman bukan dana baharu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial