AM > BERITA

Kayuhan MAIPs Peduli Manfaat Lebih 51,000 Asnaf, Libatkan Agihan Zakat Lebih RM33 Juta

14/01/2025 02:48 PM

KANGAR, 14 Jan (Bernama) -- Seramai 51,028 asnaf di Perlis memperoleh manfaat Program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli, dengan jumlah keseluruhan wang zakat yang disalurkan lebih RM33 juta, sejak inisiatif itu dimulakan pada 2013. 

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata daripada jumlah itu, seramai 5,563 asnaf disantuni menerusi program kayuhan yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas, dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM3,894,100.

Mohd Nazim berkata mereka juga bangga dengan dedikasi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs yang mencipta sejarah apabila mengetuai 111 program kayuhan sepanjang tahun lalu. 

"Kayuhan MAIPs Peduli bukan sekadar usaha simbolik, tetapi sebuah gerakan transformasi yang melibatkan semua pihak dalam membantu asnaf. Pencapaian ini membuktikan komitmen MAIPs untuk terus turun ke lapangan bersama masyarakat," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Mohd Nazim berkata secara keseluruhannya, sebanyak 978 program Kayuhan MAIPs Peduli dilaksanakan sejak 2013, dengan kerjasama dan sokongan pelbagai agensi serta pemimpin masyarakat.

Inisiatif itu antara lain disifatkan sebagai peluang terbaik untuk mendekati masyarakat dan mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat bagi membolehkan mereka menyampaikan bantuan dengan lebih efektif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan