AM > BERITA

Landasan ECRL Maran-Kota Bharu Siap Lebih Awal Daripada Jadual

15/01/2025 07:24 PM

KOTA BHARU, 15 Jan (Bernama) -- Kerja-kerja pemasangan landasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 400 kilometer (km) dari Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan dapat disiapkan dua bulan setengah daripada jadual asal, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Beliau berkata ia merupakan pencapaian terbaik dan ECRL telah berada di landasan yang tepat untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026.

"Penyiapan trek landasan utama ini yang bermula dari Maran ke Kota Bharu membolehkan ECRL beroperasi pada Januari 2027.

"Alhamdulillah, projek ECRL berada di landasan baik dan lancar serta tidak ada isu besar yang melewatkan projek mega ini," katanya selepas meninjau penyempurnaan kerja-kerja pemasangan landasan dari Maran ke Kota Bharu di sini hari ini.

Darwis yang melahirkan rasa puas hati dengan kerja-kerja pemasangan itu berkata kemajuan projek ECRL di Kelantan telah mencatat 87.80 peratus setakat Disember 2024.

"Peratusan ini akan terus meningkat dengan penyiapan kerja-kerja pemasangan landasan jajaran utama dari Maran ke Kota Bharu hari ini, sekali gus dapat mempercepat pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan dan telekomunikasi untuk jajaran ECRL di Kelantan yang sepanjang 43.86 km," katanya.

Beliau berkata jajaran ECRL di Kelantan melibatkan pembinaan dua stesen iaitu Stesen Kota Bharu di Bandar Baru Tunjong bagi tujuan penumpang manakala Stesen Pasir Puteh di Cherang Tuli adalah stesen gabungan penumpang dan kargo.

"Saya difahamkan stesen-stesen ini dapat disiapkan sepenuhnya pada suku kedua 2026,” katanya.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. 

Loke dilaporkan berkata jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak diyakini akan disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026 dan beroperasi bermula Januari 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan