AM > BERITA

Pulau Pinang Sasar Kutipan Zakat RM200 Juta Tahun Ini - Mohamad

16/01/2025 07:07 PM

BUTTERWORTH, 16 Jan (Bernama) -- Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM200 juta pada tahun ini berbanding RM170 juta tahun lepas.

Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata kutipan zakat pada tahun lepas yang meningkat RM10 juta daripada jumlah kutipan 2023, membuktikan keyakinan rakyat terhadap pelan penstrukturan dan perubahan yang dilaksanakan oleh majlis agama itu.

"Justeru, pada 2025 ini kita meletakkan sasaran untuk pertambahan RM30 juta, maknanya kutipan daripada RM170 juta kepada RM200 juta kerana kita merasakan ada lagi di luar sana yang melakukan pembayaran cukai pendapatan 100 peratus dan tidak membayar zakat.

"Mungkin dalam kalangan mereka tidak mengetahui bahawa pembayaran zakat pendapatan ini mendapat pelepasan cukai pendapatan maksimum, apa yang mereka bayar akan mendapat pelepasan cukai pendapatan terutamanya di sektor industri dan perkilangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan julung kali bersama agensi Agama Islam Pulau Pinang itu dan merasmikan penjenamaan semula Zakat MAINPP yang sebelum ini dikenali sebagai Zakat Pulau Pinang serta Wakaf Pulau Pinang kepada Wakaf MAINPP di Kompleks Darul Hidayah di sini hari ini.

Mohamad, yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, berkata beliau telah mengarahkan Zakat MAINPP untuk mengerakkan satu pasukan khas bagi memberi penerangan kepada sektor perkilangan dan industri berhubung pembayaran zakat. 

"Berdasarkan tinjauan dan dapatan awal ada dalam kalangan yang tidak membayar zakat tetapi membayar cukai pendapatan 100 peratus dan mereka ini tidak mengetahui bahawa bayar zakat pendapatan mendapat pelepasan cukai pendapatan.

“Ini yang kita akan turun padang beri penerangan dan dari situ mungkin kita boleh tingkatkan pendapatan zakat," katanya.

Mengenai penjenamaan semula Zakat MAINPP dan Wakaf MAINPP,  Mohamad berkata ia adalah langkah transformasi bagi terus melonjakkan pencapaian sedia ada ke tahap lebih tinggi bagi mendepani cabaran pada masa hadapan.

Beliau berkata transformasi tersebut tidak hanya terhad kepada penjenamaan nama dan logo sahaja tetapi juga mendasari transformasi terhadap peranan, strategi dan tadbir urus secara berkesan yang dimainkan oleh Zakat MAINPP dan Wakaf MAINPP. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan