AM > BERITA

Dr Ding Dilantik CEO Dan Pengarah Perubatan Hospital UTAR

17/01/2025 04:05 PM

IPOH, 17 Jan (Bernama) -- Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) melantik Datuk Dr Ding Lay Ming sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah perubatan baharu hospital itu, berkuat kuasa semalam.

Hospital UTAR dalam kenyataan hari ini memaklumkan Dr Ding yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam pengurusan penjagaan kesihatan dan kesihatan awam akan menerajui misi hospital itu dalam menyediakan penjagaan berkualiti tinggi yang berteraskan pesakit.

Kenyataan itu juga menekankan Dr Ding membawa bersama rekod pencapaian dan kepakaran yang mengagumkan, termasuk perkhidmatan cemerlang sebagai Pengarah Kesihatan Negeri Perak, dengan beliau mengetuai tindak balas yang cukup terkoordinasi terhadap pandemik COVID-19 di negeri ini.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dengan Dr Ding melaksanakan penambahbaikan kualiti dan strategi operasi yang meningkatkan piawaian penjagaan pesakit.

"Sebagai Timbalan Pengarah Hospital Kuala Lumpur, beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan Kompleks Pakar dan Rawatan Harian (SCACC)," menurut kenyataan itu.

Hospital UTAR memaklumkan perjalanan kerjaya Dr Ding turut merangkumi kepimpinan di Pusat Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM) dengan beliau memajukan penyelidikan penjagaan kesihatan dan inisiatif jaminan kualiti.

Ketika ini, beliau menyumbang kepada kualiti penjagaan kesihatan dan advokasi kesihatan mental melalui peranan sukarela, termasuk berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Kesihatan Mental Malaysia.

Dalam kenyataan yang sama, Dr Ding berkata pelantikannya itu merupakan satu penghormatan dan beliau menekankan mengenai keunikan Hospital UTAR yang terletak di Kampar, dekat sini dalam mengintegrasikan perkhidmatan perubatan, pendidikan dan penyelidikan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

"Saya berharap untuk bekerjasama dengan pasukan yang berdedikasi bagi mencapai kecemerlangan dalam penyampaian penjagaan kesihatan dan inovasi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Hospital UTAR Prof Emeritus Tan Sri Dr Chuah Hean Teik berkata Hospital UTAR adalah sebuah hospital yang dibina 'oleh rakyat, untuk rakyat'.

"Hospital UTAR kekal komited meningkatkan penjagaan kesihatan untuk masyarakat dan memberi sumbangan kepada kemajuan pengetahuan dan amalan perubatan melalui pembelajaran berterusan, latihan dan penglibatan komuniti.

"Dengan pelantikan Dr Ding, saya pasti hospital ini akan terus berkembang serta bergerak ke arah visi dan misi kami," katanya sambil merakamkan penghargaan Hospital UTAR kepada bekas CEO dan pengarah perubatan hospital itu, Prof Dr Lau Hui Ping yang bersara pada akhir Disember lepas.

Hospital UTAR adalah fasiliti penjagaan kesihatan bukan berasaskan keuntungan yang menawarkan perkhidmatan perubatan berkualiti dan berpatutan dalam perubatan Barat serta perubatan tradisional dan komplementari, termasuk perubatan Cina, Ayurveda dan Melayu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan