AM > BERITA

AISSE 2025 Platform Terbaik Pacu Pembangunan Keselamatan Negara - Saifuddin 

19/01/2025 03:12 PM

PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) -- Penganjuran Asia International Security Summit and Expo 2025 (AiSSE 2025) bermula esok hingga Rabu ini dijangka mampu menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi keselamatan serantau dan global, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata AiSSE 2025 bukan sekadar sebuah pameran, tetapi ia merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuhkan kedudukan negara dalam aspek keselamatan melalui perkongsian idea, teknologi dan kerjasama.

“Dengan tema ‘Asia United: Charting the Future of Global Peace and Security through Law Enforcement Collaboration’, ini jelas menunjukkan aspirasi kita untuk memupuk perpaduan, kerjasama, dan pembangunan yang mampan dalam bidang keselamatan,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan penganjuran AiSSE 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata AiSSE 2025 antara lain melibatkan pameran teknologi oleh lebih 300 syarikat serta menampilkan 36 bengkel yang membincangkan isu-isu keselamatan global oleh pakar dan pemimpin dari pelbagai negara.

“Bengkel-bengkel ini akan membincangkan pelbagai cabaran keselamatan, termasuk keselamatan siber, teknologi pemantauan pintar, dan penyelesaian terhadap ancaman jenayah rentas sempadan. Ia peluang besar untuk Malaysia mempelajari pendekatan baru serta memperbaiki dasar sedia ada,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata aspek inovasi seperti kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi pintar akan turut menjadi tumpuan AiSSE 2025.

“Pempamer membawa teknologi canggih, termasuk AI yang mampu menganalisis ancaman siber secara pantas dan memberi penyelesaian yang efektif. Kita perlu memanfaatkan teknologi ini untuk meningkatkan keselamatan negara,” ujarnya.

Beliau berkata pameran itu juga dijangka akan memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia dengan menarik pelaburan dan mencetuskan peluang kerjasama antara kerajaan dan sektor industri.

“Usaha keselamatan adalah dinamik dan memerlukan penyesuaian berterusan. AiSSE 2025 adalah platform terbaik untuk kita mengenal pasti peluang baharu dan memperkukuh dasar keselamatan kita,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata penganjuran acara seumpama AiSSE 2025 adalah penting sebagai usaha berterusan untuk mengangkat kedudukan negara dalam indeks keamanan global seperti Global Peace Index 2024 yang kini meletakkan Malaysia di tangga ke-10. 

 “Ini menunjukkan kita berada di landasan yang betul, tetapi usaha perlu diteruskan untuk memperbaiki kedudukan ini. Usaha berterusan kita untuk keselamatan cuma perlu mempergunakan maklumat yang diperolehi (melalui acara sebegini).

"Pameran ini (adalah ruang terbaik) untuk kita mengimprovisasi. Ingatlah, usaha untuk meningkatkan (kedudukan) ini bukan statik, ianya satu usaha yang dinamik, kena ada fokus, kena ada kesediaan untuk mengiktiraf bahawa sekarang sudah ada pelbagai inovasi baru," katanya.

Sebanyak 300 syarikat daripada 48 negara akan mempamerkan pelbagai teknologi keselamatan terkini pada AiSSE 2025.

Acara berkenaan juga dijangka menyaksikan penyertaan 109 syarikat tempatan dan menarik kehadiran lebih 5,000 pelawat perdagangan serta 1,000 peserta seminar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan