AM > BERITA

PETRA Pandang Serius Perkembangan Projek LRA Sungai Limau

21/01/2025 06:06 PM

YAN, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memandang serius perkembangan projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling yang dipercayai tiada kemajuan sejak Julai tahun lepas.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dalam lawatan kali ketiga ke tapak projek LRA itu hari ini, pihaknya mendapati kesemua komponen yang perlu dibina masih belum disiapkan, walaupun projek berkenaan bermula pada 2021.

"Projek itu bermula sejak 2021, sebagai contoh, ada lebih kurang 15 komponen projek yang perlu dibina di kawasan loji. Semua komponen ni belum siap, malah ada komponen yang langsung belum dimulakan lagi.

"Difahamkan, kerja-kerja telah terhenti sejak Julai lepas, maka pihak kementerian memandang serius dalam soal hala tuju yang kita boleh cuba bantu keadaan di sana," katanya kepada pemberita selepas melawat Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pendang di sini hari ini. 

Sebelum itu, beliau telah meninjau kemajuan projek LRA Sungai Limau di Baling dan LRA Jenun Baru di Pendang. 

Akmal Nasrullah berkata sehubungan itu, pihak kementerian telah bermesyuarat dan membuat keputusan supaya perkhidmatan kontraktor yang terlibat dalam projek LRA Sungai Limau ditamatkan.

"Sekarang ini urusan pentadbiran itu sedang dilaksanakan di peringkat negeri dan lebih kepada untuk memutuskan dahulu (menamatkan) kontraktor lama, sebelum lantikan kontraktor baharu boleh dibuat," katanya.

Beliau seterusnya berkata pihaknya juga bimbang kemungkinan kos pembinaan LRA berkenaan akan meningkat disebabkan oleh garis masa yang telah berubah.

"Kelewatan (pembinaan LRA) ini juga akan memberi kesan dalam isu bekalan air kepada penduduk di kawasan berkenaan," katanya.

Sementara itu, mengenai LRA Jenun Baru, beliau berkata kemajuan projek berkenaan setakat ini mengikut jadual dan berharap projek itu dapat disiapkan pertengahan tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan