KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Akademi Keselamatan Siber Malaysia (MCSA) bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini sekali gus mencerminkan komitmen untuk memperkukuh pertahanan digital dan meningkatkan kedudukan keselamatan siber global negara.
Menyedari keperluan mendesak terhadap profesional keselamatan siber berkemahiran, CyberSecurity Malaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Kementerian Digital dan CyberSecurity Malaysia kini dalam proses menubuhkan akademi itu yang menumpukan kepada pembangunan keselamatan siber di peringkat pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan negara dan global.
MCSA merupakan antara inisiatif utama bertujuan mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan boleh dipercayai.
“Dengan membangunkan kumpulan pakar keselamatan siber bertaraf dunia, MCSA bermatlamat untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam sektor keselamatan siber global,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, usaha tersebut selaras dengan tiga keutamaan utama yang diketengahkan semasa Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) kelima di Bangkok, Thailand baru-baru ini, iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi serantau melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) ASEAN, menangani penipuan dalam talian dan meningkatkan kesalinghubungan serantau dengan menggalakkan piawaian digital dan keselamatan siber yang konsisten.
Selain MCSA, CyberSecurity Malaysia juga mengambil langkah untuk meningkatkan ekonomi digital di rantau ASEAN menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi menubuhkan Rangka Kerja Kepercayaan Digital Nasional (National Digital Trust Framework), satu inisiatif yang bertujuan membina semula keyakinan pengguna terhadap produk dan perkhidmatan digital dengan memerangi penipuan dalam talian dengan berkesan.
Selain itu, CyberSecurity Malaysia juga akan bekerjasama dengan Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan dalam inisiatif utama keselamatan AI termasuk ujian dan penilaian keselamatan siber AI untuk menilai ketahanan sistem serta pembangunan rangka kerja keselamatan siber bagi memastikan penggunaan AI yang beretika.
“Kerjasama ini juga akan memberi tumpuan kepada penilaian kerentanan AI, mempromosikan latihan keselamatan AI dan memupuk budaya yang peka terhadap keselamatan, selaras dengan usaha antarabangsa untuk memastikan penyebaran teknologi AI yang selamat dan membina ekosistem AI yang lebih selamat dan berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama juga memaklumkan Program Galakan Pemerkasaan Keselamatan Siber (PGPKS) yang diperkenalkan untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengukuhkan pertahanan keselamatan siber juga dijangka dilanjutkan, susulan maklum balas yang sangat positif selain memberi impak.
"Inisiatif yang dibiayai oleh kerajaan ini merangkumi perkhidmatan seperti imbasan perisian hasad, penilaian kerentanan dan penilaian risiko keselamatan siber, selain program latihan seperti Pengurus Kesedaran Keselamatan Maklumat Berkelayakan (CISAM)," menurut CyberSecurity Malaysia.
Sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, beberapa acara utama turut dijadualkan bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam keselamatan digital antaranya Webinar SID ASEAN pada Jun, Sidang Kemucak Keselamatan 5G dan Internet Pelbagai Benda (IoT) ASEAN (15 hingga 17 Julai) dan Edisi Ketiga CyberDSA (30 Sept hingga 2 Okt).
Selain Forum Penyiasatan Mata Wang Krito Lanjutan: Memperkasakan Penguatkuasaan Undang-Undang ASEAN pada September, Forum Penyiasatan Forensik Kenderaan ASEAN: Memacu Bukti dan Meneroka Teknik dan Amalan Terbaik (juga pada September) serta Migrasi Selamat Kuantum: Menjamin Masa Depan Digital ASEAN pada 1 Okt.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial