KUCHING, 21 Jan (Bernama) -- Projek Lapangan Terbang Berlepas dan Pendaratan Pendek (STOLport) Bebuling bernilai RM296 juta di Betong, Sarawak mencatatkan kemajuan memberangsangkan yang menyaksikan 70.16 peratus pembinaan telah pun siap berbanding perancangan awal iaitu 69.77 peratus.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek itu yang dijangka siap Ogos tahun ini menyaksikan kemajuan ketara termasuk penyiapan bangunan terminal.
“Saya amat gembira dengan kemajuan Bebuling STOLport. Walaupun isu kecil dihadapi kontraktor, saya yakin mereka dapat mengatasinya dan memastikan projek itu berjaya disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata tumpuan kini pada pemasangan sistem lapangan terbang, menyiapkan kerja-kerja di landasan dan laluan teksi serta tempat letak kereta serta jalan masuk utama.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menerima taklimat terperinci mengenai projek itu semasa lawatan ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong semalam.
Beliau berkata satu lagi projek utama di bahagian itu iaitu Jambatan Sungai Paku di Tanjung Sebekut, Spaoh juga berjalan lancar memandangkan jambatan gerbang keluli sepanjang 107 meter bernilai RM36.9 juta sudah siap 48.65 peratus, lebih awal berbanding kemajuan yang dijadualkan iaitu sebanyak 48.37 peratus.
“Penghantaran komponen off-site fabricated dari Sejingkat dijangka tiba bulan ini untuk pemasangan,” katanya.
Uggah berharap pihak kontraktor dapat menyiapkan jambatan itu menjelang Jun, lebih awal daripada tarikh akhir iaitu Ogos sekali gus membolehkan masyarakat setempat meraikan Gawai Dayak dengan lebih meriah tahun ini.
"Sekiranya mereka dapat siapkan ia akan menjadi detik istimewa untuk penduduk di kawasan itu semasa Gawai," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial