AM > BERITA

KKM Ambil Tindakan Segera Hasil Dapatan Pasukan Petugas Khas Kematian Pakar Perubatan

22/01/2025 04:39 PM

PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan segera hasil dapatan pasukan petugas khas bebas berhubung kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah yang didedahkan hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara bentuk tindakan segera yang dikenal pasti adalah menstrukturkan beberapa perkara berkaitan sumber manusia bagi mengurangkan isu bebanan kerja.

“Saya sangat insaf dan sedar mengenai tekanan kerja yang ditanggung oleh mendiang (Dr Tay Tien Yaa), ini menjadi utama yang menonjol dalam dapatan siasatan ini.

“Saya sebagai menteri pastinya akan mengambil tindakan, khasnya dalam apa yang disebutkan (usaha menangani isu) sumber tenaga yang terhad,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dzulkefly berkata kementerian itu sentiasa berusaha melaksanakan tindakan bagi memperbaiki persekitaran tempat kerja bagi kakitangan perubatan.

Ditanya sama ada dapatan pasukan petugas khas bebas itu telah dikemukakan kepada keluarga mendiang, Dzulkefly berkata pihaknya telah memaklumkan. 

“Saya memahami dan sedar sukarnya keluarga untuk menerima dapatan seperti yang disebutkan oleh jawatankuasa bebas ini,” katanya.

Hari ini, pasukan petugas khas bebas berkaitan kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu mendedahkan kematian pakar itu tidak melibatkan isu buli di tempat kerja atau dibebani beban kerja berlebihan. 

Pengerusi pasukan petugas khas bebas berhubung kematian pakar patologi itu, Tan Sri Borhan Dolah berkata dapatan mereka merumuskan dakwaan mendiang ditindas, dizalimi atau dibuli ketua jabatannya juga tidak berbangkit. 

Pada 29 Ogos tahun lepas, kematian pakar perubatan patologi itu di kediamannya, yang didakwa akibat dibuli di tempat kerja tular menerusi media sosial.

Perkara itu didedahkan adik mangsa, yang mendakwa kakaknya yang berkhidmat di Hospital Lahad Datu ditindas ketua jabatan selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat bebanan kerja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan