AM > BERITA

MATA Sokong Cadangan Agensi Pelancongan Wajib Ada Jaminan Bank RM250,000

22/01/2025 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Semua agensi pelancongan khususnya syarikat pengendali umrah harus mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000 bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan berkualiti, sekali gus menjaga kebajikan jemaah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun berkata perkara itu selari dengan cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mewajibkan pengendali umrah mempunyai jaminan bank dengan jumlah berkenaan.

“Sebenarnya ini dari (dilaksanakan) dahulu lagi, tetapi agensi pelancongan banyak yang minta supaya ia tidak dikuatkuasakan. Hari ini oleh kerana banyak sangat penipuan khususnya melibatkan pakej ibadah umrah dan haji, jadi kalau tidak ada modal, tak payahlah buat.

“Bila kerajaan kata kena ada RM250,000, maka MATA sebagai persatuan menyokong penuh saranan ini bagi memastikan semua agensi pelancongan yang menawarkan pakej ke luar negara mempunyai jaminan bank berkenaan,” katanya.

Beliau berkata tawaran pakej perjalanan ke luar negara sememangnya memerlukan wang yang banyak bagi menampung kos awal sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Saya sudah 30 tahun jadi operator. Bila jemaah saya tersangkut di Kaherah, seorang meninggal, awak perlukan duit segera untuk urusan bawa balik jasad. Kalau nak tunggu insurans lambat, jadi kos awal ini kita sebagai operator perlu uruskan,” katanya.

MOTAC baru-baru ini memaklumkan pihaknya sedang meneliti pelaksanaan undang-undang mewajibkan syarikat pengendali umrah mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000.

Ia juga antara penambahbaikan syarat lesen perniagaan pengendalian pelancongan ke luar negara bagi umrah atau ziarah.

Baru-baru ini, kira-kira 379 jemaah terkandas dan gagal diterbangkan ke Tanah Suci oleh sebuah syarikat pengendali umrah terkenal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan