BANGI, 23 Jan (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk kembali menjadi pengeluar getah nombor satu dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sasaran tersebut adalah realistik sekiranya usaha penanaman semula dan inovasi dalam industri getah dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik.
“Saya telah berbincang dengan pengarah dan pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), dan saya fikir dalam tempoh 10 tahun kita boleh melakukannya. Malaysia mempunyai 800,000 hektar kawasan tanaman getah, dan 400,000 hektar daripadanya perlu ditanam semula.
“Penanaman semula itu mesti menggunakan baka yang berkualiti tinggi serta kaedah automasi untuk proses penorehan dan pengumpulan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA Tahun 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata usaha ini juga melibatkan penjualan kayu getah untuk industri perabot, bukan sebagai bahan mentah, tetapi dalam bentuk kayu getah yang telah dirawat, sekali gus meningkatkan nilainya.
“Ini bermakna, hasil daripada kayu getah akan lebih bernilai tinggi. Kita menjangkakan ia akan menjadi sumber yang mencukupi untuk RISDA bergerak sendiri tanpa perlu bergantung kepada belanjawan kerajaan. Ini adalah azam kita, Insya-Allah,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa Malaysia pernah menduduki tangga pertama dalam industri getah global, namun kini berada di tangga ke-10.
“Hari ini, bekalan getah dunia kita hanya menyumbang 50 peratus. Hakikatnya, negara jiran kita menghasilkan satu pertiga daripada pengeluaran getah global.
“Namun, saya yakin dengan semangat, dedikasi, dan komitmen saudara-saudari semua, kita bukan sahaja mampu mengatasi cabaran yang ada, Insya-Allah kita juga bertekad untuk membawa industri ini ke tahap yang lebih tinggi. Kita mesti kembali ke tangga pertama dalam industri getah,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya inovasi, teknologi, dan kaedah lestari dalam memastikan daya saing dan produktiviti industri getah negara.
Ahmad Zahid berkata usaha ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memacu pembangunan luar bandar serta mengukuhkan sektor pertanian sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara.
“Kita perlu berani keluar daripada cara lama, sektor getah mesti menjadi lebih menarik kepada generasi muda dengan teknologi moden seperti AI, automasi, dan inovasi ladang.
“Bayangkan ladang getah yang menggunakan IoT, dron untuk meningkatkan produktiviti, dan e-dagang yang menghubungkan pekebun kecil terus ke pasaran global. Ini bukan sekadar perubahan, tetapi ini adalah revolusi industri getah yang kita semua dambakan,” katanya.
Industri getah Malaysia telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara selama lebih daripada satu abad.
Pada 2023, nilai eksport industri getah negara, termasuk kayu getah, mencapai RM37.2 bilion, menegaskan sumbangannya yang signifikan kepada ekonomi Malaysia.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana bagi menyokong industri getah negara dan ini termasuklah RM20 juta diperuntukkan untuk mengusahakan semula ladang getah milik persendirian yang terbiar dan RM60 juta dalam bentuk geran padanan disediakan di bawah RISDA untuk Program Galakan Pengeluaran Lateks Pekebun Kecil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial