AM > BERITA

KPDN Laksana Pemantauan Pastikan Peniaga Patuh Shmmp Tahun Baharu Cina 2025

25/01/2025 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggerakkan pegawai secara konsisten bagi memantau harga barangan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh berkata pegawai penguat kuasa KPDN seluruh negara telah ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SHMMP yang dilaksanakan sehingga 2 Feb melibatkan 16 jenis barangan yang akan dikawal dari segi paras harga maksimum, yang disesuaikan mengikut keseimbangan penawaran dan permintaan menjelang, semasa dan selepas perayaan, di samping faktor lain seperti kos semasa, cuaca dan kadar upah.

Fuziah turut memohon kerjasama orang ramai memaklumkan kepada kementerian sekiranya berlaku salah laku oleh mana-mana pihak berhubung ketidakpatuhan ke atas skim berkenaan. 

Beliau berkata pelaksanaan SHMMP ini, antara langkah kerajaan bagi menjaga serta memelihara kebajikan hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana sebagai persediaan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2025.

Di Ibu Negara, pemantauan hari ini dilakukan antaranya di Econsave Scott Garden melibatkan 15 pegawai penguat kuasa. 

Di Negeri Sembilan,  kira-kira 20 pegawai penguat kuasa bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan turun padang di sebuah pasar raya di Seremban.

Veerapan pada sidang media kemudiannya memberi jaminan barangan makanan terutama bahan mentah mencukupi setakat ini, selain memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga barang sesuka hati atau tindakan tegas akan diambil.

Di Melaka, Pengarah KPDN negeri Norena Jaafar memaklumkan 10 pasukan melibatkan 40 pegawai penguat kuasa akan ditugaskan untuk pemantauan, manakala bilik gerakan KPDN dibuka di Pejabat KPDN negeri sehingga pukul 10 malam bagi membolehkan orang ramai membuat aduan secara terus.

“Orang ramai tidak perlu bimbang, sekiranya berdepan sebarang isu kepenggunaan atau terdapat kedai melanggar peraturan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, datang sahaja ke Pejabat KPDN negeri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Di Johor, Pengarah KPDN negeri Lilis Saslinda Pornomo berkata 200 penguat kuasa KPDN negeri akan membuat pemantauan berkala sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan. 

“Peniaga diminta memastikan barangan itu dijual mengikut harga siling ditetapkan selain turut mempamerkan papan tanda harga barangan jualan dengan jelas,” katanya.

Sementara itu, di Kedah, Pengarah KPDN negeri Muhammad Nizam Jamaludin berkata lebih 180 pegawai penguat kuasa yang menggunakan taktik penyamaran akan ditugaskan di lokasi strategik di seluruh negeri itu.

“Kita memang ada buat penyamaran, jadi berhati-hatilah peniaga semua dan kita akan gempur di bawah moto "kita gempur". Anggota bertugas akan sentiasa memantau peniaga ini dan tindakan tegas diambil sekiranya melanggar skim ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan