KOTA KINABALU, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sabah telah menyediakan pelbagai alternatif bantuan bagi menempatkan penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru (RPTA) untuk berpindah, namun masih terdapat segelintir penghuni yang enggan menerima tawaran tersebut.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata mereka bukan sahaja ditawarkan penempatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), tetapi juga rumah lain di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Mereka telah menolak tawaran tersebut. LPPB tiada pilihan selain meminta mereka berpindah ke rumah alternatif sendiri. Malangnya, segelintir daripada mereka berkeras tidak mahu berpindah kerana mendapat maklumat yang tidak tepat daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Joachim berkata bangunan RPTA yang usang berumur lebih 50 tahun itu tidak selamat untuk diduduki selain kos penyelenggaraan dan pembaikan memakan belanja lebih besar berbanding bayaran sewa iaitu hanya antara RM124 hingga RM170 sebulan.
Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat penghuni yang tidak membayar sewa, menyebabkan tunggakan RPTA setakat Disember tahun lalu mencecah RM236,585.00, yang mengakibatkan LPPB mengalami kerugian berterusan.
Joachim berkata antara syarat untuk terus menyewa adalah tidak mempunyai tunggakan sewa tetapi penghuni RPTA telah diberi kelonggaran dan masih ditawarkan rumah walaupun ada tunggakan.
Syarat kelayakan untuk menyewa rumah PPR mengikut Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah Untuk Disewakan Negeri Sabah 2018 adalah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000.00 dan tidak memiliki rumah sendiri, manakala penghuni yang bukan penyewa asal dianggap tidak layak.
“Rumah sewa PPR LPPB bukanlah rumah baharu. Walaupun dalam perjanjian, penyewa berjanji untuk menjaga rumah dengan baik, kebanyakan rumah yang dikembalikan berada dalam keadaan daif akibat kerosakan yang tidak dibaiki oleh penyewa. Kos pembaikan boleh mencecah ribuan ringgit, jauh melebihi deposit sebanyak RM240.00,” katanya.
Joachim berkata pada tahun lalu notis pengosongan telah dikeluarkan pada 12 Jun dan tarikh akhir pengosongan rumah dan kedai RPTA ialah pada 31 Ogos dan diberi tempoh lanjutan sehingga 30 Sept.
Katanya LPPB memberi keutamaan kepada penghuni RPTA untuk ditawarkan PPR LPPB kepada yang layak walaupun ada yang menolak kerana mahukan lokasi yang sesuai dan turut diberi peluang kali kedua serta keutamaan untuk ditawarkan rumah lain apabila ada kekosongan di lokasi pilihan.
"LPPB semestinya membuat pembaikan dan memastikan rumah boleh didiami tetapi sememangnya tidak mampu untuk menjadikan rumah seperti rumah baharu sebelum disewakan semula seperti yang diharapkan oleh penyewa baharu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial