KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kerajaan Pahang terus komited melaksanakan Program Tunas Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) dengan peruntukan sebanyak RM9 juta tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pada tahun ini, dianggarkan sekitar 250,000 penerima yang terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), guru dan pensyarah akan menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.
“Kita akan teruskan dengan penambahbaikan, dan tahun ini, kita peruntukkan sebanyak RM9 juta. Paling penting, semua pihak akan mendapat manfaat ini,” katanya selepas merasmikan Moh Karnival Makmur Peringkat Lipis di Lipis, Pahang, baru-baru ini.
Beliau berkata inisiatif tersebut akan diteruskan dengan pemberian bantuan kepada semua pelajar Tahun 1 di seluruh Pahang, serta pelajar Tahun 2 hingga Tingkatan 5 dalam kategori miskin dan miskin tegar di negeri tersebut.
“Bagi anak-anak Tahun 1 sesi 2025, ibu bapa tidak perlu membeli kelengkapan sekolah. Alat tulis, kotak pensil, pensil warna, kamus, beg sekolah – semua akan diberikan percuma oleh kerajaan negeri. Ini bertujuan memastikan anak-anak kita lengkap, selesa, dan bersemangat memulakan sesi persekolahan.
“Tentu sahaja program bantuan IM Pahang Tunas Makmur untuk memastikan anak-anak ke sekolah dalam keadaan lengkap untuk belajar,” katanya.
Selain itu, Wan Rosdy berkata seperti sebelum ini, setiap penerima akan diberikan kad diskaun 30 peratus yang boleh digunakan di semua rangkaian kedai MBS World di seluruh Pahang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial