AM > BERITA

AIFA: Platform Semak Kesahihan Berita Menerusi Respons Pantas

28/01/2025 09:06 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu & Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- "One moment …. Tunggu sebentar. Selamat sejahtera, saya AIFA. Apa yang boleh saya bantu?"

Kata-kata ini antara "pembuka bicara" antara Chatbot Sebenarnya.my dengan pengguna yang memanfaatkan kemudahan itu yang dilancarkan hari ini bertujuan memerangi maklumat palsu dan membolehkan pengguna menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian.

Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh diakses 24 jam menerusi portal https://sebenarnya.my/ dan platform WhatsApp (melalui talian 03-8688 7997) serta dibangunkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.

Penulis bebas Anisa Hang Tuah, 37, ketika dihubungi Bernama berkata dia mencuba untuk bertanyakan mengenai topik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi platform WhatsApp dan dalam tempoh seminit, dia mendapat maklum balas sepanjang dua perenggan daripada Chatbot Sebenarnya.my.

“Cepat dan puas hati dengan jawapan. Boleh tanya macam-macam dekat Sebenarnya.my berkaitan isu semasa, tempatan dan antarabangsa. Chatbot AIFA juga beri maklumat untuk merujuk kepada portal rasmi PTPTN bagi mendapatkan maklumat lanjut, berdasarkan persoalan saya mengenai PTPTN itu,” katanya.

Jurugambar Moganraj Villavan, 33, berkata inisiatif seumpama itu merupakan sesuatu yang disarankan kepada rakyat Malaysia untuk digunakan ketika penyebaran berita palsu semakin berleluasa tanpa batasan.

“Sampai sekarang saya masih menerima gambar atau audio yang disebarkan yang jelas palsu dan tidak benar. Adakala orang lain minta saya sahkan sama ada berita atau kandungan itu betul atau tidak. Jadi, saya rasa mereka boleh manfaatkan Chatbot ini secara langsung.

“Cuma, saya harap ia boleh dikembangkan dan boleh didapati melalui aplikasi telefon pintar selain boleh diguna pakai untuk muat turun gambar, video atau grafik,” katanya yang berasal dari Perak.

Moganraj berkata dia turut cuba berinteraksi dengan Chatbot AIFA dalam bahasa Tamil dan respons yang diterima agak memberangsangkan.

AIFA ketika ini hanya menerima input dalam format teks dan ia akan diperluas untuk menerima input dalam format lain, seperti video atau grafik pada masa hadapan selain tersedia dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil untuk memastikan akses kepada pelbagai kumpulan pengguna.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Chatbot Sebenarnya.my di Cyberjaya dan menyatakan AIFA juga berperanan meningkatkan fungsi portal Sebenarnya.my dengan tiga objektif utama.

Ia membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih secara cepat dan mudah, mempercepat maklum balas terhadap maklumat tidak sahih dalam talian dan memperkukuh peranan Sebenarnya.my dalam menangani penyebaran maklumat palsu di Malaysia.

Kata Fahmi, AIFA merupakan alat penting untuk memperkasakan rakyat dengan maklumat disahkan oleh pihak berwajib dan mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar.

Sementara itu, penjawat awam dikenali sebagai Maya memuji usaha kerajaan memperkenalkan Chatbot AIFA yang membantu rakyat mendapatkan maklumat tepat dan benar dengan cepat.

“Baguslah ada platform Chatbot AIFA ini, lebih-lebih ia boleh digunakan untuk generasi tua kerana mereka juga sekarang aktif menggunakan WhatsApp.

“Ia juga membantu masyarakat mendapatkan akses maklumat dengan mudah dan secara 24 jam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan