AM > BERITA

Majikan Tidak Boleh Paksa Pekerja Ambil Cuti Tahunan Atau Cuti Tanpa Gaji - KESUMA

28/01/2025 04:05 PM

PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Majikan yang merancang untuk menutup operasi perniagaan melebihi hari kelepasan am yang diwartakan sempena Tahun Baharu Cina diingatkan agar tidak memaksa pekerja untuk mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji sepanjang tempoh tersebut.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada pekerja mengenai tindakan segelintir majikan yang memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji.

“KESUMA ingin menegaskan bahawa pekerja berhak menentukan bila mereka ingin memohon cuti tahunan. Majikan tidak boleh memaksa pekerja untuk mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji bagi tujuan mengurangkan kos perniagaan.

“Ini kerana cuti tahunan serta cuti tanpa gaji hendaklah diberikan atas kehendak dan permohonan pekerja sendiri,” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan pekerja yang mendapati majikan menolak kelayakan cuti tahunan atau gaji bagi tempoh penutupan syarikat yang melebihi hari kelepasan am boleh melaporkan perkara ini kepada Pejabat Tenaga Kerja yang berdekatan, mengikut peruntukan Seksyen 69 Akta Kerja 1955 (Akta 265).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan