AM > BERITA

Harga Runcit RON95 Dan RON97 Kekal, Diesel Naik Lima Sen Di Semenanjung

29/01/2025 05:18 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Harga runcit diesel di Semenanjung naik lima sen seliter daripada RM3.13 kepada RM3.18 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter bagi tempoh 30 Jan hingga 5 Feb.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan RON97 kekal pada RM3.43 seliter.

“Kerajaan menetapkan harga runcit diesel di Semenanjung pada RM3.18 seliter. Harga itu masih rendah berbanding harga diesel yang diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu RM3.35 seliter mahupun harga diesel di pasaran dunia kini,” menurut kementerian itu.

MOF memaklumkan harga berkenaan ditetapkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Kenyataan itu menjelaskan kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak, serta menyokong kestabilan harga.

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan