KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menzahirkan rasa dukacita atas kejadian menyayat hati itu yang berlaku ketika sambutan Tahun Baharu Cina hari ini.
"Semoga mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini," katanya.
Menurut laporan terkini, empat mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku pada 2.58 pagi itu manakala usaha mencari seorang lagi mangsa masih giat dijalankan.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyeru orang ramai agar berwaspada susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah hingga Jumaat ini.
"Justeru, saya menyeru semua pihak agar berwaspada, terutama mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi. Keselamatan harus diutamakan," katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran terkini melalui publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PublicInfoBanjir, X @JPS_InfoBanjir, aplikasi myCuaca MetMalaysia dan portalbencana.nadma.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial