AM > BERITA

JKM Salur Bantuan Segera Kepada Mangsa Banjir Di Sarawak

29/01/2025 06:44 PM

KUCHING, 29 Jan (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi berkaitan di Sarawak telah digerakkan dengan segera bagi memastikan keperluan asas dan sokongan psikososial disalurkan kepada semua mangsa banjir di negeri itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri, menyeru semua pihak yang terkesan agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Kepada mereka yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan melalui JKM atau pertubuhan yang diiktiraf," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nancy berkata setakat ini, lebih 1,097 mangsa banjir di Sarawak telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), melibatkan daerah Kuching, Serian, Bintulu, Miri, Siburan, Tatau, Bau, dan Simunjan.

Di daerah Serian, jumlah mangsa tertinggi dicatatkan dengan 374 orang ditempatkan di enam PPS dan beliau turut meluahkan rasa simpati terhadap situasi banjir yang sedang melanda negeri itu.

Tambahnya, bagi maklumat lanjut atau bantuan, orang awam atau mangsa yang terkesan boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau pejabat bahagian serta daerah JKM terdekat.

Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Kuching di talian 082-507 600, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Bau 082-763 044, PKMB Serian 082-892 288, PKMD Simunjan 082-803 707, PKMB Bintulu 086-313 675 dan PKMB Miri 085-432 960.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan