AM > BERITA

Banjir: Jumlah Mangsa Di Sarawak, Sabah Terus Meningkat

29/01/2025 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak dan Sabah meningkat mendadak kepada 4,000 orang setakat pukul 8 malam ini, berbanding 1,250 pagi tadi.

Di Sarawak, seramai 2,981 mangsa daripada 862 keluarga ditempatkan di 36 PPS di seluruh negeri berkenaan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan daerah Serian mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,406 orang daripada 453 keluarga berlindung di 15 PPS.

Kawasan yang turut terjejas ialah Bau, Bintulu, Kuching, Kanowit, Miri, Samarahan, Sebuyau, Selangau, Siburan, Simunjan, Subis dan Tatau.

Selain banjir, kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri menyebabkan 105 orang daripada 25 keluarga pula masih berlindung di satu PPS.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,019 orang daripada 291 keluarga malam ini, berbanding 224 mangsa daripada 66 keluarga pagi tadi.

Laman sesawang InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan selain Kota Marudu dan Beaufort, PPS dibuka di empat lagi daerah iaitu Beluran, Sandakan, Telupid dan Tongod petang tadi.

Kota Marudu kekal daerah yang mempunyai mangsa banjir paling ramai iaitu 673 orang daripada 194 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan tiga lagi PPS baharu dibuka di Kota Marudu, dengan pemindahan mangsa banjir sedang dilaksanakan malam ini dan jumlah mangsa dijangka bertambah melebihi 1,000 orang.

“Selain itu, satu PPS lagi dibuka di Lahad Datu dan dalam proses pemindahan mangsa,” katanya.

Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan berasingan memaklumkan terdapat kejadian cerun runtuh di Jalan Marak Parak, Kota Marudu menyebabkan jalan itu tidak boleh dilalui, sekali gus meminta pengguna menggunakan jalan alternatif di Jalan Kandagon.

Jalan Telupid-Tongod juga tidak boleh dilalui akibat cerun runtuh dan jalan alternatif yang boleh dilalui adalah Jalan Tapang.

Bencana banjir menyebabkan Jalan Labuan di Kota Belud tidak boleh dilalui dan pengguna diminta menggunakan jalan alternatif di Jalan Kota Belud Bypass dan Jalan Kota Kinabalu-Kudat.

Selain itu, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan iaitu jalan utama menghubungkan Pantai Barat dan Timur Sabah turut terjejas di sektor C3 serta C9 akibat banjir, dan hanya satu laluan boleh digunakan sehingga petang tadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan