AM > BERITA

Kedudukan Geopolitik Malaysia Amat Signifikan Bantu Bangun Semula Gaza - IKIM

31/01/2025 12:01 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia akan membantu dalam usaha membangunkan semula Gaza amat signifikan, mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam progresif dan Pengerusi ASEAN.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, berkata dalam konteks geopolitik, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk menjalin kerjasama erat dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, dan negara-negara Asia Barat lain yang memiliki kapasiti ekonomi yang kukuh.

"Melalui jaringan ini, usaha pembinaan semula Gaza dapat dilaksanakan secara sistematik dan lebih mampan."

"Pada peringkat ASEAN, Malaysia juga boleh menggerakkan inisiatif serantau yang lebih menyeluruh untuk memperkukuh peranan negara-negara jiran dalam menyokong kestabilan dan pembangunan semula Palestin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri pada Rabu lepas bahawa Malaysia akan menggerakkan usaha pembinaan sekolah, hospital dan masjid di Gaza mencerminkan keprihatinan negara ini terhadap kesejahteraan rakyat Palestin.

Mohamed Azam berkata pengumuman tersebut juga menegaskan peranan negara sebagai peneraju dalam memperkukuh solidariti kemanusiaan antarabangsa serta tanggungjawab moral untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat konflik.

Beliau turut menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi yang diurussetiakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia bagi memastikan usaha pembangunan semula Gaza dilaksanakan secara berkesan, berstruktur dan berkesinambungan. 

"Dalam hubungan ini, IKIM akan memberikan kerjasama pada tahap optimum bagi memastikan kejayaan matlamat yang disasarkan," katanya.

Pada peringkat domestik, Mohamed Azam berkata sokongan dan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat merupakan elemen penting dalam menjayakan misi pembangunan semula Gaza. 

Katanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), berpotensi memainkan peranan utama dalam menyediakan sumber kewangan, kepakaran teknikal dan membina jaringan strategik yang diperlukan untuk memastikan keberkesanan inisiatif ini. 

Selain itu, katanya penglibatan NGO juga wajar diperkasakan bagi menyediakan sokongan logistik dan menggerakkan jaringan sukarelawan bagi mempercepatkan penyampaian bantuan secara berkesan.

"IKIM kekal komited dalam menyokong dan mengukuhkan usaha yang menyumbang kepada pembangunan semula Gaza, selaras dengan prinsip keadilan sosial, kemanusiaan sejagat, serta tanggungjawab kolektif dalam membina masyarakat global yang lebih aman dan sejahtera," kata Mohamed Azam.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan