AM > BERITA

Sembilan Notis Dikeluarkan MBSA Kepada Taman Tema Terkenal

31/01/2025 08:25 PM

SHAH ALAM, 31 Jan (Bernama) -- Sembilan notis telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap sebuah taman tema terkenal di bandar raya itu yang terkait dengan insiden seorang pengunjung cedera tertimpa pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh pada Rabu lepas.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA dalam kenyataan memaklumkan ini termasuk tiga notis amaran pada 14 Nov 2024 dan satu notis amaran pada 19 Jan lepas.

Menurut kenyataan itu notis amaran yang dikeluarkan pada 19 Jan ialah untuk menghentikan segera aktiviti hiburan (gelongsor air kaca) di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat- tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 Pindaan 2001 Seksyen 6 (1)(a).

“Walaupun notis telah dikeluarkan, pemantauan semula mendapati pihak pengurusan masih meneruskan aktiviti hiburan tersebut tanpa kelulusan bertulis dan ingkar terhadap arahan yang dikeluarkan.  

“Oleh itu, semalam (30 Jan) pihak majlis telah mengeluarkan notis kompaun ingkar arahan di bawah Seksyen 121 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kegagalan pihak pengurusan mematuhi kehendak notis yang telah diberikan,” menurut kenyataan itu.

MBSA menegaskan setiap projek pembangunan dan operasi taman tema di Shah Alam perlu mematuhi peraturan serta prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. 

“Ini termasuk keperluan untuk mendapatkan kelulusan bertulis daripada MBSA sebelum sebarang aktiviti atau pembinaan dijalankan,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan pihak MBSA turut kesal terhadap insiden pelampung jatuh dan menimpa pengunjung di taman tema tersebut yang tular di media sosial. 

“MBSA ingin menegaskan bahawa keselamatan awam adalah keutamaan utama dan komited untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang ketat. 

“Sehubungan itu, MBSA akan terus memantau situasi ini dengan lebih teliti dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan," menurut kenyataan itu. 

Terdahulu Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan seorang pengunjung cedera tertimpa pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh di sebuah taman tema di Seksyen 7 di sini, kira-kira 11 malam pada 29 Jan lepas. 

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim memaklumkan kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan taman tema berkenaan hari ini bagi memastikan semua proses pematuhan dapat diselesaikan segera.

Ng berkata kerajaan negeri juga akan memperketatkan pemantauan serta memperkukuhkan syarat keselamatan bagi semua taman tema dan tempat hiburan di Selangor bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.

“Kesejahteraan dan keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan, pihak berkuasa tempatan akan meneliti semula prosedur kelulusan serta mengukuhkan mekanisme penguatkuasaan agar setiap taman tema di negeri ini beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan