SHAH ALAM, 31 Jan (Bernama) -- Malaysia kini diiktiraf sebagai antara lima negara utama yang aktif dalam wakaf al-Quran peringkat global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Penaung Program Wakaf Al-Quran peringkat kebangsaan berkata pengiktirafan itu antara lain merupakan hasil usaha Yayasan Restu dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang menyumbang lebih 100,000 naskhah al-Quran ke luar negara termasuk Indonesia, Thailand, Kemboja, China serta Afrika Selatan.
Sementara di Malaysia, lebih 500,000 naskhah telah diwakafkan oleh pelbagai institusi dan organisasi menerusi Program Wakaf Al-Quran yang bermula sejak 2007 dengan matlamat menyebarkan kitab itu kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.
“Ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja komited dalam memperkasakan wakaf al-Quran di dalam negara malah turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan menyebarkan al-Quran di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Wakaf Al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-13, sempena Festival Antarabangsa Seni Al-Quran Restu (ReQAF) 2025 di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sebagai sebuah negara Islam yang progresif, Malaysia berpotensi besar untuk menjadi pusat percetakan dan pengedaran al-Quran terbesar di rantau ASEAN.
“Dengan adanya Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, Malaysia telah memiliki fasiliti yang bertaraf antarabangsa dan mampu mencetak jutaan naskhah al-Quran setiap tahun.
“Justeru, marilah kita bersama-sama menjayakan misi ini, dengan tekad dan kesungguhan, kita mampu menjadikan Malaysia sebagai negara contoh dalam memperkukuh institusi wakaf dan pendidikan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata lebih RM50 juta diperuntukkan setiap tahun untuk program wakaf pendidikan Islam termasuk wakaf al-Quran oleh kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan MAIN.
Di samping itu, beliau turut memuji langkah Yayasan Restu memperkenalkan sistem pembayaran wakaf al-Quran secara elektronik yang disifatkan beliau sebagai contoh inovasi digital yang amat baik dalam memudahkan dan memperluas jangkauan amalan berwakaf.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial