JOHOR BAHRU, 1 Feb (Bernama) -- Sebanyak 44 negara mengesahkan penyertaan dalam Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang yang bakal berlangsung di Bukit Layang-Layang di sini pada 12 hingga 16 Feb ini.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM) Datuk A Rahim Nin berkata acara berprestij yang memasuki edisi ke-27 penganjurannya itu turut menyaksikan tiga penyertaan baharu iaitu dari La Reunion (kepulauan di Lautan Hindi), Tasmania dan Tahiti, dengan keseluruhan 376 peserta antarabangsa dan tempatan mengambil bahagian.
“Acara utama festival adalah persembahan pelbagai bentuk layang-layang moden dan tradisional peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Turut diadakan pertandingan wau dan layang-layang naik dan sobek, selain galeri khas untuk pameran layang-layang dari pelbagai negara.
“Kita menganggarkan lebih 500,000 pengunjung akan hadir ke festival yang bertemakan Stay Clean Enjoy Fly ini,” katanya pada sidang media di Menara Aqabah, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha MBPG Abdul Malek Mohamed.
A Rahim yang juga Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor berkata majlis perasmian festival yang akan diadakan di Astaka Tradisional, Bukit Layang-Layang itu dijadual disempurnakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 8 malam, 15 Feb ini.
Menyedari festival tersebut mendapat sambutan pelbagai negara dan peserta tempatan, beliau berkata pihak kerajaan negeri bersetuju untuk mengadakan festival layang-layang di peringkat kebangsaan pada Oktober ini.
“Selepas ini, festival layang-layang akan dijalankan dua kali setahun iaitu di peringkat sedunia dan peringkat kebangsaan dengan penganjuran bagi kedua-dua acara itu akan dapat dibuat pada sekala lebih besar dan meriah,” katanya.
Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang dianjurkan sejak 1995, dengan pelbagai negara mengambil bahagian seperti Indonesia, China, Singapura, Thailand, England, Australia, Portugal dan Argentina selain disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Johor khususnya dan Malaysia amnya.
Sementara itu, A Rahim memaklumkan bersempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, kerajaan Perlis bersetuju menganjurkan festival layang-layang peringkat ASEAN yang dijangka diadakan pada Mei ini melibatkan penyertaan 10 negara anggota.
“Kita juga akan berkolaborasi dengan kerajaan Perlis melalui penganjuran Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Perlis pada 18 Feb, selain terlibat dengan penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Satun, Thailand pada 20 hingga 23 Feb,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial