HULU LANGAT, 3 Feb (Bernama) -- Penuntut cemerlang bidang perakaunan Aysar Zahran Saiful Alimin yang maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang semalam, bercita-cita menjadi akauntan di firma audit terbesar dunia suatu hari nanti.
Bapa Allahyarham, Saiful Alimin Mohd Mokhtar, 58, berkata anaknya itu yang pernah meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) peperiksaan Program Asas Perakaunan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA-FIA) pada 2023, beberapa kali memberitahu perkara itu kepadanya.
“Saya memberi galakan sepenuhnya kepada dia kerana ia merupakan peluang kerjaya yang baik malah saya juga mempunyai beberapa rakan yang bekerja sebagai akauntan. Jadi, saya selalu beritahu Allahyarham supaya mengambil contoh daripada mereka.
“Walaupun sangat sedih kehilangannya saya reda dengan kejadian ini,” katanya yang kelihatan sugul ketika ditemui di Masjid Al-Muttaqin di sini hari ini.
Saiful Alimin menyifatkan Aysar Zahran seorang anak yang baik dan lemah lembut selain sentiasa menunggang motosikal dengan berhemah.
Dia berkata semasa kejadian, Allahyarham yang merupakan pelajar semester dua di TYMBA Education Group, dalam perjalanan pulang ke penginapan di kolejnya di Gombak selepas melakukan aktiviti kegemarannya di masa lapang iaitu memanah dan sempat singgah di rumah di Hulu Langat.
“Saya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kejadian ini kepada pihak berkuasa dan berharap anak saya akan mendapat keadilan sewajarnya. Saya juga berterima kasih kerana banyak pihak sudi menjadi saksi,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Gary Danny, 29, berkata Aysar Zahran pernah memberitahu mengenai cita-citanya untuk bekerja di satu daripada empat firma audit terbesar di dunia dikenali sebagai ‘the big four’ untuk meningkatkan ekonomi keluarganya.
“Setahu saya Aysar Zahran bukan datang daripada keluarga senang dan dia turut menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Saya mengenalinya sebagai seorang yang peramah dan mudah tersenyum serta mempunyai usaha tinggi untuk berjaya, dalam kelas dia memang suka duduk di barisan paling hadapan,” katanya.
Gary berkata dia pernah mengajar Aysar Zahran bagi kertas MA1 dalam peperiksaan ACCA-FIA, yang membawa kejayaan cemerlang buat Allahyarham.
“Kenangan paling manis dikongsi bersama Aysar Zahran ialah apabila saya menghubunginya menerusi telefon untuk memberitahu keputusan peperiksaan tersebut dan kami sama-sama menjerit gembira di telefon,” katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Masjid Al-Muttaqin untuk disolatkan pada kira-kira 4.30 petang seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Hulu Langat.
Media sebelum ini melaporkan pelajar tersebut maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan kira-kira 4.45 petang semalam.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial