AM > BERITA

Titah Diraja: JPA Tumpu Lima Inisiatif Utama Perkukuh Perkhidmatan

04/02/2025 03:45 PM

PUTRAJAYA, 4 Feb (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menumpukan lima inisiatif utama bagi memperkukuh perkhidmatan awam sebagai tunjang utama pentadbiran negara selaras Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata inisiatif utama itu ialah reformasi perkhidmatan awam, pemerkasaan modal insan dan penjagaan kebajikan, kesejahteraan pegawai awam, peningkatan integriti dan akauntabiliti serta pengukuhan identiti nasional dan semangat perkhidmatan. 

“JPA akan terus berperanan sebagai peneraju dalam memastikan pegawai awam sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu serta berdaya saing dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Ahmad Dahlan berkata menerusi reformasi perkhidmatan awam, JPA akan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan dengan menerapkan amalan kerja berasaskan digital bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan operasi kerajaan.

“(JPA akan) memastikan perkhidmatan awam lebih responsif terhadap keperluan rakyat dan sektor ekonomi,” katanya. 

Menerusi inisiatif pemerkasaan modal insan, beliau berkata JPA melaksanakan program latihan dan pembangunan berterusan bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing pegawai awam dalam era teknologi tinggi dan digital.

“JPA mengukuhkan budaya kerja berasaskan integriti, ketelusan dan profesionalisme bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam terus terpelihara dan menggalakkan tadbir urus yang cekap dan bertanggungjawab dalam semua aspek pengurusan kerajaan,” katanya.

Dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 semalam, Sultan Ibrahim bertitah supaya kerajaan mengambil tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan, bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan atas taat setia yang telah dicurahkan kepada Seri Paduka Baginda dan negara, oleh semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta seluruh agensi kerajaan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Wan Ahmad Dahlan berkata titah penghargaan daripada Seri Paduka Baginda kepada pegawai awam bukan sekadar pengiktirafan tetapi juga satu amanah besar untuk memastikan perkhidmatan awam terus relevan, cekap dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

“JPA akan terus menerajui usaha-usaha pembaharuan dan memastikan sektor perkhidmatan awam bergerak seiring dengan perkembangan semasa bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan sejahtera,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan