AM > BERITA

Ciri Baharu Jadikan Penjejakan Pedati Thaipusam Lebih Menarik

04/02/2025 11:23 PM

GEORGE TOWN, 4 Feb (Bernama) -- Kuil Nattukotai Chettiar di Jalan Kebun Bunga di sini telah menaik taraf laman sesawang penjejakan pedati perak tahun ini dengan ciri baharu sempena sambutan Thaipusam 11 Feb ini bagi menjadikannya lebih menarik dan memudahkan perjalanan kepada penganut Hindu.

Pemegang amanah Kuil Nattukotai Chettiar Dr A. Narayanan berkata pengesan pedati perak 2025 yang telah dinaik taraf bukan sahaja menyediakan maklumat pergerakan pedati tetapi juga menawarkan ciri baharu termasuk sokongan pelbagai bahasa dan kemas kini masa nyata.

Beliau berkata pada tahun ini, pengguna boleh menjejak kavadi Kuil Nagarathar Kovil Veedu untuk menyaksikan 'Kavadi Aatam' iaitu tarian kavadi tradisional yang mengiringi perjalanan pedati berusia 131 tahun menerusi www.chariottracker.com.

“Penganut Hindu juga boleh mengakses maklumat mengenai penutupan jalan, lokasi kawalan trafik dan titik semak bersejarah di sepanjang laluan perarakan pedati sejauh sembilan kilometer.

“Kami juga telah menaik taraf sistem ini dengan sokongan pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris, Melayu, Tamil dan Cina,” katanya dalam sidang media di Kuil Veedu Kovil di sini hari ini.

Narayanan menyatakan bahawa pedati perak akan memulakan perjalanan tradisinya dari Kuil Nagarathar Kovil Veedu di Lebuh Penang pada 7 pagi, 10 Feb melalui Lebuh Chulia, Gat Lebuh Chulia, Jalan Victoria, Gat Jalan Prangin, Lebuh Bridge, Jalan Magazine, Jalan Datuk Keramat dan dijangka tiba di Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Kebun Bunga sebelum tengah malam.

Bagi perjalanan pulang, beliau berkata pedati perak akan bertolak dari Kuil Nattukottai Chettiar di antara 6.30 petang dan 7 malam pada 12 Feb dan dijangka tiba di Kuil Nagarathar Kovil Veedu pada 8.30 pagi, 13 Feb.

Bagi mempercepatkan perjalanan pedati, beliau menggalakkan penganut Hindu memecahkan kelapa kira-kira 100 meter di hadapan pedati, supaya perarakan dapat berjalan lancar dan tiba di kuil pada masa yang tepat untuk upacara sembahyang sebelum sambutan Thaipusam.

Dengan jumlah pengunjung yang ramai, Narayanan turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sepanjang perarakan pedati dan sambutan Thaipusam bagi memastikan keselamatan serta mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) RSN Rayer berkata sistem pengesanan untuk pedati emas turut dipertingkatkan dengan ciri baharu tahun ini, membolehkan penganut Hindu mengakses maklumat masa nyata dengan lebih mudah melalui aplikasi Pathrikai & Chariot Tracker.

Pedati emas akan bertolak dari Kuil Maha Mariamman di Lebuh Queen pada 6 pagi, 10 Feb dan tiba di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga keesokan harinya. Pedati berkenaan akan kembali ke Kuil Maha Mariamman pada 12 Feb dan dijadualkan tiba pada 13 Feb.

Lebih 1.5 juta penganut Hindu dari seluruh negara serta pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang bagi sambutan Thaipusam tahun ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan