AM > BERITA

JBPM Perlis Giat Laksana Program Komuniti Tingkatkan Ilmu Penyelamatan

06/02/2025 04:07 PM

KANGAR, 6 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis giat melaksanakan pelbagai program pendidikan dan latihan kebombaan melibatkan komuniti sebagai usaha meningkatkan ilmu serta kemahiran berkaitan penyelamatan dalam kalangan masyarakat di negeri itu.

Pengarah JBPM Perlis Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata ilmu kebombaan termasuk penyelamatan amat penting dikuasai bagi menghadapi sebarang risiko keselamatan sekali gus dapat melahirkan komuniti berdaya tahan bencana. 

“Hampir 50,000 peserta telah menyertai program komuniti termasuk ceramah, latihan kebakaran dan kempen pencegahan yang dijalankan sepanjang tahun lalu di Perlis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2025 JBPM Perlis di ibu pejabat JBPM negeri di sini hari ini.

Wan Mohd Hamizi berkata pihaknya menyasarkan peningkatan peserta antara 20 ke 30 peratus tahun ini selain turut melibatkan penyertaan peringkat tadika dan sekolah menengah.

Selain penyelamatan kebakaran, beliau berkata program khusus berkaitan penyelamatan di air juga dijalankan untuk memastikan masyarakat menguasai kemahiran menyelamatkan diri jika berhadapan sebarang risiko keselamatan ketika melakukan aktiviti air.

Dalam pada itu, Wan Mohd Hamizi berkata JBPM Perlis menumpukan usaha mengurangkan masa respons kecemasan kepada bawah 10 minit menerusi penempatan anggota di kawasan ‘hotspot’ kebakaran terutama berisiko tinggi berlaku pembakaran terbuka seperti belukar.

“Dari Januari 2025 hingga hari ini, sudah terdapat 100 kes pembakaran terbuka di Perlis dan kita menjangkakan angka ini mungkin meningkat apabila dijangkakan berlaku peralihan monsun yang membawa kepada cuaca panas dan kering pada Mac ini. 

“Oleh itu, kita menyeru masyarakat agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang tidak terkawal kerana ia bukan sahaja membahayakan diri tetapi juga boleh mencetus kebakaran berskala besar,” katanya.  

Pada majlis itu, Wan Mohd Hamizi menyampaikan sijil penghargaan kepada lima pengamal media di Perlis termasuk Ketua Biro Bernama Perlis Nurrul Huda Ahmad Lutfi atas sumbangan dan penglibatan bersama JBPM Perlis sepanjang tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan