AM > BERITA

Jemaah Menteri Doakan Yang Di-Pertuan Agong Selamat Terima Rawatan Perubatan -- Fahmi

07/02/2025 05:27 PM

PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Barisan Jemaah Menteri hari ini mendoakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dikurniakan kesihatan, keafiatan dan selamat menerima rawatan perubatan di luar negara.

Perkara itu dizahirkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media pascamesyuarat Kabinet.

"Setakat ini pagi tadi Seri Paduka Baginda telah berangkat dan kita mengikuti perjalanan rawatan Tuanku," katanya.

Ditanya mengenai pengganti sepanjang ketiadaan Seri Paduka Baginda dalam menjalani urusan rasmi negara, Fahmi berkata kerajaan akan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Kita berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan ada tempohnya dan ada mekanismenya. Jadi kita akan turuti seperti apa yang ada dalam Perlembagaan," katanya.

Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini memaklumkan keberangkatan Seri Paduka Baginda ke luar negara bagi menjalani rawatan telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, seluruh rakyat diminta mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan berpanjangan.

Sementara itu, Fahmi berkata dalam mesyuarat Kabinet, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membincangkan hasil daripada siri lawatan kerja rasmi dan siri lawatan negara melibatkan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev.

Fahmi berkata hasil daripada dua lawatan itu, selain pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dan mengeratkan hubungan dua negara tersebut dengan Malaysia, ia juga membuka peluang perniagaan dan pelaburan antara negara terlibat.

Prabowo mengadakan lawatan negara pada 27 Jan lepas manakala Mirziyoyev berada di Malaysia pada Selasa dan Rabu lepas untuk lawatan rasmi.

Beliau turut memaklumkan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia minggu depan dengan istiadat sambutan rasmi dijadualkan Selasa ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan