AM > BERITA

Pengendali Makanan Di Tapak Pesta Perlu Dapatkan Suntikan Antitifoid - KKM

07/02/2025 07:12 PM

PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Penganjur, pemilik atau penyewa gerai jualan makanan dan minuman di tapak pesta makanan perlu memastikan semua pengendali mendapatkan vaksinasi antitifoid.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihak terbabit juga perlu memastikan semua pengendali menghadiri Latihan Pengendali Makanan (LPM) di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf.

Menurut kenyataan itu penganjur pesta atau ekspo makanan bersama penyewa gerai jualan makanan dan minuman turut diwajibkan mematuhi aspek kebersihan serta keselamatan makanan di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) 2009. 

“Antara kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi pemilik premis dan pengendali makanan adalah kebersihan diri, penggunaan peralatan perkakasan yang sesuai, penyediaan, pembungkusan dan penghidangan makanan yang tidak terdedah kepada pencemaran,” menurut kenyataan itu.

Sekiranya berlaku pelanggaran terhadap ketetapan berkenaan, KKM memaklumkan tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pemilik premis makanan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut KKM tindakan yang boleh dikenakan adalah arahan penutupan premis tidak melebihi 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. 

Justeru, KKM dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus menjalankan pemantauan di tapak pesta atau ekspo makanan di seluruh negara bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan berkenaan serta keselamatan makanan sentiasa terjamin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan